Kisah Nabi Adam as dan Iblis serta Balasan kepada Orang yang Mengikuti dan Mengabaikan Petunjuk
Surah 20: Taha (115 – 125)
Ayat 115
وَلَقَدْ عَهِدْنَآ إِلَىٰٓ ءَادَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِىَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُۥ عَزْمًا
Dan sungguh telah Kami pesankan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa, dan Kami tidak mendapati kemahuan yang kuat padanya.
Allah Ta’ala mengatakan bahawa Dia telah berpesan kepada Nabi Adam as agar tidak memakan buah pohon terlarang. Namun baginda terlupa dengan ketetapan-Nya itu dan tidak mempunyai tekad atau kesungguhan sehingga baginda memakan buah terlarang tersebut. Pesanan ini disebut dalam firman-Nya:
“Dan Kami berfirman, ‘Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.’”
Al-Baqarah 2:35
Ibnu Abi Hatim dan ‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa manusia dinamakan ‘insan’ kerana dijanjikan syurga kepadanya tetapi dia ‘nisyaan’ (lupa). Mujahid dan Al-Hasan mengatakan maksud lupa ialah meninggalkan.
Ayat 116
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Lalu mereka pun sujud kecuali Iblis, dia menolak.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan tentang pemuliaan dan penghormatan serta keutamaan yang diberikan kepada Nabi Adam as melebihi kebanyakan makhluk ciptaan-Nya.
Kisah Nabi Adam as seperti ini juga dinyatakan dalam firman-firman Allah Swt seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 34, Surah Al-A’raf ayat 11, Surah Al-Hijr ayat 3, Surah Al-Kahfi ayat 50 dan Surah Sad ayat 74.
Allah Ta’ala juga memberikan penjelasan tentang permusuhan Iblis terhadap keturunan Nabi Adam as berdasarkan keengganan Iblis laknatullah sujud disebabkan kesombongannya.
Ayat 117
فَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ إِنَّ هَـٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ ٱلْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰٓ
Kemudian Kami berfirman, “Wahai Adam! Sungguh, (Iblis) ini adalah musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali jangan sampai dia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, nanti kamu celaka.
Allah Ta’ala memberi peringatan kepada Nabi Adam as agar berhati-hati terhadap tipu daya Iblis sehingga mengeluarkan baginda dari syurga. Jika berlaku seperti itu, kelak di dunia hidup baginda akan susah dalam mencari rezeki, sedangkan di dalam syurga baginda hidup dengan bersenang lenang tanpa mengalami kesusahan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat seterusnya.
Ayat 118
إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ
Sungguh, ada (jaminan) untukmu di sana, engkau tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang.
Ayat 119
وَأَنَّكَ لَا تَظْمَؤُا۟ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ
Dan sungguh, di sana engkau tidak akan merasa dahaga dan tidak akan terkena panas matahari.”
Seterusnya, Allah Ta’ala menyebutkan tentang keadaan di syurga. Mereka dapat hidup bersenang lenang dalam banyak perkara dan akan menikmati pelbagai kenikmatan berupa makanan yang lazat, tempat kediaman yang istimewa dan pakaian yang indah.
Allah Ta’ala mengaitkan kelaparan dan telanjang kerana kelaparan itu kehinaan batin dan telanjang itu merupakan kehinaan dari segi zahir. Dahaga dan panas terik matahari saling berkaitan. Dahaga merupakan kepanasan batin manakala panas terik matahari merupakan kepanasan zahir.
Ayat 120
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ
Kemudian syaitan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”
Allah Ta’ala terdahulu telah menyatakan bahawa Iblis cuba memperdayakan baginda dengan tipu daya sebagaimana firman-Nya yang lain:
“Dan dia (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua, ‘Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu.’ Maka syaitan memujuk kedua-duanya (memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala mereka berdua-dua telah merasai buah kayu itu, nampaklah aurat kedua-duanya, dan mulailah mereka berdua menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Rabb mereka menyeru mereka, ‘Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu,’ dan Aku katakan kepadamu, ‘Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?’”
Al-A’raf 7:21-22
Allah Ta’ala telah melarang Nabi Adam as dan isterinya mendekati pohon tertentu tetapi Iblis terus berusaha mempengaruhi mereka.
Ayat 121
فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰٓ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ
Lalu kedua-duanya memakannya, lalu nampaklah oleh kedua-duanya aurat mereka dan mulailah kedua-duanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan telah derhakalah Adam kepada Rabbnya, dan sesatlah dia.
Iblis yang terus berusaha akhirnya berjaya mempengaruhi mereka berdua menghampiri pohon tersebut iaitu Pohon Khuldi (abadi) dan mereka pun memakan daripada pohon itu.
Dalam sebuah hadis disebutkan tentang Pohon Khuldi (pohon keabadian) iaitu daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebatang pohon. Apabila seorang yang berkenderaan berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun, nescaya dia belum memenuhinya. Itulah Pohon Khuldi.”
(HR. Muslim dan Abu Daud)
Setelah Nabi Adam as dan isterinya memakan buah terlarang itu, maka terlepaslah pakaian daripada badan mereka dan terbukalah aurat. Lalu kedua-duanya mencari daun-daun pohon untuk menutupi aurat mereka. Demikianlah Nabi Adam as terpengaruh dengan Iblis hingga tersilap dan tersesat dari jalan kebenaran.
Mujahid, Qatadah dan As-Suddi mengatakan, mereka berdua melekatkan dan menyusun daun-daun seperti bentuk pakaian.
Ayat 122
ثُمَّ ٱجْتَبَـٰهُ رَبُّهُۥ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ
Kemudian Rabbnya memilih dia, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memilih Nabi Adam as dan mendekatkan dia kepada-Nya setelah baginda bertaubat daripada kemaksiatan dan Dia telah mengampuninya. Dia membimbingnya bertaubat dan menuju jalan yang benar. Firman-Nya:
“(Mereka berdua) berkata, ‘Wahai Rabb kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.’”
Al-A’raf 7:23
Sememangnya tidak diragukan lagi bahawa melanggar perintah yang diwajibkan oleh Allah Ta’ala adalah merupakan kemaksiatan dan akan ada balasan terhadap perlakuan tersebut. Namun dalam kisah Nabi Adam as ini, kesalahan baginda adalah berdasarkan kehendak Allah Ta’ala dan ia terjadi ketika baginda terlupa kepada larangan memakan daripada pokok tersebut. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Musa mendebat Adam, dan berkata kepadanya, “Bukankah kamu yang mengeluarkan manusia dari syurga akibat dosamu dan membuat mereka sengsara?” Adam menjawab, “Wahai Musa, kamukah yang dipilih oleh Allah dengan risalah-risalah dan firman-Nya? Apakah kamu mengecamku disebabkan suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah bagiku sebelum Dia menciptakanku? (atau Allah telah mentakdirkannya terhadapku sebelum Dia menciptakan aku?)” Rasulullah saw bersabda, “Adam pun mengalahkan Musa.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Ayat 123
قَالَ ٱهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًۢا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَاىَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ
Dia (Allah) berfirman, “Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, maka (ketahuilah) sesiapa mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.
Allah Ta’ala mengarahkan Nabi Adam as, Hawa dan Iblis keluar dari syurga sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah sebelum ini.
Sesiapa yang istiqamah dengan petunjuk Allah Ta’ala, petunjuk pada rasul dan kitab-Nya, maka sebenarnya dia telah mendapat petunjuk, tidak tersesat dan tidak akan sengsara di akhirat kelak.
Abul ‘Aliyah menyatakan maksud petunjuk dalam ayat, “Jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku,” ialah para Nabi, Rasul dan penjelasan daripada Allah Ta’ala.
Ibnu ‘Abbas ra mentafsirkan maksud “siapa yang mengikuti petunjuk” ialah orang-orang yang tidak sesat di dunia dan tidak celaka di akhirat.
Ayat 124
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ
Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”
Maksud ayat ini ialah sesiapa yang menentang perintah Allah Swt dan apa yang diturunkan kepada Rasul-Nya serta mengambil petunjuk daripada selain itu, dia akan menjalani kehidupan yang sempit. Dadanya menjadi sesak walaupun pada zahirnya dia mendapat kesenangan dengan memiliki rezeki berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal yang dia kehendaki. Ini bermaksud ketenangan tidak akan diperoleh selagi dia tidak mempunyai keyakinan dan petunjuk.
Kelak di akhirat dia akan diseret dalam keadaan buta mata dan hatinya, sedangkan semasa hidup di dunia dia dapat melihat dan dia akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam. Wal’iyazubillahi min zalik.
Mujahid, Abu Salih dan As-Suddi mengatakan ayat ini bermaksud tidak ada hujjah (pembelaan) baginya. Manakala ‘Ikrimah pula mengatakan dia dibutakan terhadap segala sesuatu kecuali Neraka Jahannam sedangkan di dunia dia dapat melihat. Ini sebagaimana firman Allah Swt:
“Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada Hari Kiamat dengan wajah tersungkur, dalam keadaan buta, bisu dan tuli. Tempat kediaman mereka adalah Neraka Jahannam.”
Al-Isra’ 17:97
Ayat 125
قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِىٓ أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا
Dia berkata, “Wahai Rabbku, mengapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu dapat melihat?”
Kemudian orang yang berpaling daripada agama Allah Ta’ala bertanya kepada-Nya mengapa dia dijadikan berkeadaan buta padahal semasa hidup di dunia dia dapat melihat.