Al-Quran Diturunkan agar Manusia Bertakwa dan Mengambil Pelajaran
Surah 20: Taha (113 – 114)
Ayat 113
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَـٰهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ ٱلْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا
Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran dalam Bahasa Arab, dan Kami telah menjelaskan berulang kali di dalamnya sebahagian daripada ancaman, agar mereka bertakwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran kepada mereka.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa balasan kebaikan dan keburukan pada Hari Kiamat kelak benar-benar terjadi. Oleh itu tidak dapat disangkal lagi bahawa Al-Quran yang diturunkan-Nya itu memang benar-benar memberi khabar gembira dan peringatan dengan menggunakan Bahasa Arab yang sangat jelas lagi fasih, iaitu tidak ada keraguan dan kelemahan di dalamnya.
Khabar gembira dan peringatan ini disebut berulang kali dalam Al-Quran agar mereka melakukan ketaatan dan berusaha mendekatkan diri kepada-Nya serta meninggalkan semua dosa dan perbuatan keji yang dilarang.
Ayat 114
فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِٱلْقُرْءَانِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰٓ إِلَيْكَ وَحْيُهُۥ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًا
Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenar-benarnya. Dan janganlah kamu (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) Al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu, dan katakanlah, “Wahai Rabbku, tambahkanlah ilmu kepadaku.”
Setelah menyebutkan keagungan Al-Quran dalam ayat sebelum ini, dalam ayat ini Allah Swt menyebutkan pula keagungan diri-Nya dengan mengatakan bahawa diri-Nya Maha Tinggi dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci daripada sifat kekurangan. Dia-lah Raja yang berkuasa memerintah dengan yang sebenar-benarnya. Janji dan ancaman-Nya benar-benar akan terjadi, para Rasul-Nya adalah benar, syurga dan neraka juga benar, dan segala sesuatu daripada-Nya adalah benar. Dia Maha Adil, dan tidak akan mengazab seseorang sebelum diutuskan-Nya para Rasul untuk memberi peringatan dan hujjah.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah menghadapi kesulitan pada saat baginda menerima wahyu, dan itulah yang membuatkan lidahnya tergerak (agar cepat-cepat dapat menghafalnya dan tidak mudah lupa). Lalu Allah Swt menurunkan ayat ini.
Ini bermaksud jika Jibril as datang membawakan wahyu dan membacakan kepada Rasulullah saw, baginda membacanya dengan tergesa-gesa sebelum Jibril as menghabiskan bacaannya. Baginda melakukan hal ini kerana khuatir akan terlupa. Lalu Allah Ta’ala menegur perbuatan baginda dan membimbingnya agar mendengar terlebih dahulu sehingga Jibril as selesai membacanya sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al-Quran kerana hendak cepat-cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kami mengumpulkannya dan (membuatmu pandai) membacanya. Jika Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya.”
Al-Qiyamah 75:16-19
Allah Swt juga mengajar Rasulullah saw berdoa agar ditambahkan ilmu. Ibnu ‘Uyainah rahimahullah mengatakan, baginda sentiasa berada dalam tambahan ilmu, sehingga Allah Swt mewafatkannya.