Surah 20: Taha (102 – 112)

Peniupan Sangkakala dan Keadaan yang Mengerikan pada Hari Kiamat

Surah 20: Taha (102 – 112)


Ayat 102

يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ ۚ وَنَحْشُرُ ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ زُرْقًا

Pada hari (Kiamat), sangkakala ditiup (untuk kali yang kedua) dan pada hari itu Kami kumpulkan orang-orang yang berdosa dengan (wajah) biru muram.

Tiupan sangkakala kali yang kedua ialah tiupan yang membangkitkan manusia dari kubur dan setelah itu mereka semua akan dikumpulkan untuk dihisab.

Apabila Rasulullah saw ditanya tentang sangkakala, baginda bersabda:

“Bagaimana aku dapat merasakan kenikmatan, sedang peniup sangkakala telah meletakkan tanduk di mulutnya dan dahinya telah tunduk bersedia. Dan ia telah siap menunggu perintah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana kami mengucapkan?” Baginda menjawab, “Katakanlah, ‘Cukup Allah yang menjadi pelindung kami, dan Dia sebaik-baik pelindung, kepada Allah kami bertawakkal.’”

(HR. At-Tarmizi)

Pada Hari Kiamat, mata dan wajah orang-orang yang berdosa menjadi biru kerana menyaksikan pelbagai kesukaran dan kegemparan pada hari tersebut. Ada juga yang mengatakan bahawa mata mereka menjadi kebiruan disebabkan keadaan yang mengerikan.

Ayat 103

يَتَخَـٰفَتُونَ بَيْنَهُمْ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا

Mereka saling berbisik satu sama lain, “Kamu tinggal (di dunia) tidak lebih dari sepuluh (hari).”

Orang-orang yang berdosa saling berbisik-bisik, lalu sebahagian daripada mereka berkata secara diam-diam kepada sebahagian yang lain dengan mengatakan bahawa keberadaan mereka di dunia atau di dalam kubur sangat singkat iaitu lebih kurang sepuluh hari jika dibandingkan dengan hari-hari dan umur yang sangat lama di Akhirat.

Ayat 104

نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا

Kami lebih mengetahui apa yang akan mereka katakan, ketika orang yang paling lurus jalannya mengatakan, “Kamu tinggal (di dunia), tidak lebih dari sehari sahaja.”

Orang yang paling sempurna akalnya di antara mereka mengatakan tempohnya lebih pendek dari sehari disebabkan singkatnya masa dunia pada pandangan mereka pada hari pembalasan. Oleh itu, mereka menganggap tempoh kehidupan di dunia sangat singkat seperti firman Allah Swt:

“Allah bertanya, ‘Berapa tahunkah kamu tinggal di bumi?’ Mereka menjawab, ‘Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung.’ Dia (Allah) berfirman, ‘Kamu tinggal (di bumi) hanya sebentar sahaja, jika kamu benar-benar mengetahui.’”

Al-Mu’minun 23:112-114

Ayat 105

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْجِبَالِ فَقُلْ يَنسِفُهَا رَبِّى نَسْفًا

Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang gunung-gunung, maka katakanlah, “Rabbmu akan menghancurkannya (pada Hari Kiamat) sehancur-hancurnya.

Ayat 106

فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا

Kemudian Dia akan menjadikan (bekas gunung-gunung) itu rata sama sekali.

Ayat 107

لَّا تَرَىٰ فِيهَا عِوَجًا وَلَآ أَمْتًا

(Sehingga) Kamu tidak akan melihat lagi ada tempat yang rendah dan yang tinggi di sana.”

Orang-orang musyrik bertanya kepada Rasulullah saw tentang keadaan gunung-gunung pada Hari Kiamat sama ada gunung-gunung itu akan kekal ataupun hilang. Lalu baginda menjawab bahawa gunung-gunung itu hilang dan dimusnahkan oleh Allah Ta’ala. Dia menghancurkannya dan menjadikannya seperti debu yang berterbangan serta bumi menjadi satu hamparan yang rata.

Ibnu ‘Abbas ra, ‘Ikrimah, Mujahid, Al-Hasan Al-Basri, Adh-Dhahhak dan Qatadah mengatakan maksudnya ialah permukaan bumi rata tanpa ada tumbuh-tumbuhan. Pada hari itu, bumi tidak lagi mempunyai lembah, puncak, dataran yang rendah ataupun yang tinggi.

Ayat 108

يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ ٱلدَّاعِىَ لَا عِوَجَ لَهُۥ ۖ وَخَشَعَتِ ٱلْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَـٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا

Pada hari itu mereka mengikuti (panggilan) penyeru (malaikat) tanpa berbelok-belok (membantah), dan semua suara tunduk merendah kepada Rabb Yang Maha Pemurah, sehingga yang kamu dengar hanyalah bisik-bisik.

Pada hari ketika manusia melihat keadaan dan kejadian yang mengerikan itu, mereka memenuhi panggilan penyeru dengan cepat. Mereka akan bergegas menuju ke mana sahaja yang diperintahkan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-firman Allah Swt:

“Alangkah jelas pendengaran mereka dan alangkah tajam penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami……..”

Maryam 19:38

“Dengan patuh mereka segera datang kepada penyeru itu……”

Al-Qamar 54:8

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat, “Dan semua suara tunduk merendah kepada Rabb Yang Maha Pemurah,” ialah tenang. Demikian juga yang dinyatakan oleh As-Suddi sehingga yang dapat didengar hanyalah bunyi bisikan.

Sa’id bin Jubair mengatakan maksud ayat ini ialah pembicaraan yang dirahsiakan dan bunyi derap tapak kaki.

Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra maksud ‘suara berbisik’ itu pula adalah suara yang tersembunyi.

Ayat 109

يَوْمَئِذٍ لَّا تَنفَعُ ٱلشَّفَـٰعَةُ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَرَضِىَ لَهُۥ قَوْلًا

Pada hari itu tidak berguna syafaat, kecuali (syafaat) orang yang Allah Maha Pemurah telah memberi izin kepadanya, dan Dia telah meredhai perkataannya.

Pada Hari Kiamat, tidak berguna syafaat di sisi Allah Ta’ala kecuali syafaat yang telah mendapat keizinan-Nya. Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:

“…………tidak ada yang mendapat syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya………….”

Al-Baqarah 2:255

“Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat (pertolongan) mereka sedikitpun tidak berguna kecuali apabila Allah telah mengizinkan bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia redhai.”

An- Najm 53:26

“Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai (Allah), dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.”

Al-Anbiya’ 21:28

“Dan syafaat (pertolongan) di sisi-Nya hanya berguna bagi orang yang telah diizinkan-Nya…….”

Saba’ 34:23

Dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, disebutkan dalam hadis yang panjang daripada Rasulullah saw, pada Hari Kiamat kelak, Allah Ta’ala akan mengumpulkan seluruh umat manusia. Ketika itu mereka mengalami kesusahan dan penderitaan yang mereka tidak mampu memikulnya. Maka mereka pergi dari seorang Nabi kepada Nabi yang lain agar memohonkan syafaat kepada Allah Ta’ala untuk mereka. Namun para Nabi yang mereka datangi itu tidak sanggup dan akhirnya mereka datang menemui Rasulullah saw. Rasulullah saw merupakan pemimpin seluruh umat manusia dan makhluk yang paling mulia di sisi Allah Swt, baginda bersabda:

“Aku datang di bawah ‘Arasy, aku tersungkur sujud kepada Allah. Dan Allah mengilhamkan kepadaku (untuk mengucapkan) pelbagai pujian yang tidak dapat aku hitung sekarang ini. Lalu Dia membiarkanku (dalam keadaan sujud) sekehendak-Nya. Kemudian Dia berfirman, ‘Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Berbicaralah! Bicaramu akan didengar. Mintalah! Permintaanmu akan dikabulkan. Belalah! Pembelaanmu akan diterima.’” Maka aku mengangkat kepalaku, seraya memuji Rabbku dengan puji-pujian yang diajarkan-Nya kepadaku. Kemudian aku memohon pembelaan bagi umat manusia, sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan Allah bagiku. Sesudah itu aku keluarkan mereka dari Neraka lalu aku masukkan ke Syurga. Sesudah itu aku sujud kembali, dan Allah membiarkanku sujud sampai lama. Setelah itu Dia berfirman, “Wahai, Muhammad! Angkatlah kepalamu! Berbicaralah! Bicaramu akan didengar. Mintalah! Permintaanmu akan dikabulkan. Belalah! Pembelaanmu akan diterima.” Lalu aku angkat kepalaku seraya memuji Rabbku dengan puji-pujian yang diajarkan Allah kepadaku. Sesudah itu barulah aku mohonkan pembelaan bagi umat manusia, sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan Allah bagiku. Lalu aku keluarkan mereka dari Neraka dan aku masukkan ke Syurga. Baginda melanjutkan, “Aku lupa, apakah kali yang ketiga atau yang keempat, yang mana sesudah itu aku berkata, ‘Ya, Allah! Tidak ada lagi yang tinggal dalam neraka, kecuali orang-orang yang memang ditentukan Al-Quran kekal tinggal di dalamnya.’”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 110

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِۦ عِلْمًا

Dia (Allah) mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang akan terjadi) dan apa yang di belakang mereka (yang telah terjadi), sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa pengetahuan-Nya meliputi seluruh makhluk, sedangkan ilmu yang ada pada makhluk-Nya tidak dapat merangkumi ilmu-Nya kecuali apa yang Dia kehendaki seperti firman-Nya:

“………….dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki…………”

Al-Baqarah 2:255

Ayat 111

وَعَنَتِ ٱلْوُجُوهُ لِلْحَىِّ ٱلْقَيُّومِ ۖ وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا

Dan semua muka tertunduk di hadapan (Allah) Yang Hidup dan Yang Berdiri sendiri. Sungguh rugi orang yang melakukan kezaliman.

Ibnu ‘Abbas ra dan lain-lain mengatakan maksud ayat, “Dan semua muka tertunduk di hadapan (Allah) Yang Hidup dan Yang Berdiri sendiri,” ialah seluruh makhluk tunduk, merendahkan diri dan berserah diri kepada Rabb Yang Maha Perkasa, Yang Hidup dan tidak mati, Yang Berdiri Sendiri dan tidak tidur. Dia Berdiri Sendiri menguruskan dan menjaga segala sesuatu. Dia yang sempurna dalam diri-Nya, yang diperlukan oleh segala sesuatu, tiada penolong bagi-Nya kecuali dengan-Nya.

Orang-orang yang melakukan kezaliman, akan mendapat kerugian pada Hari Kiamat kelak. Allah Ta’ala akan memenuhi hak setiap orang yang memilikinya sehingga Dia juga akan melaksanakan qisas bagi kambing biri-biri bertanduk dengan yang tidak bertanduk. Amaran agar menjauhi kezaliman ini dinyatakan dalam hadis:

“Jauhilah olehmu kezaliman, sebab kezaliman adalah kegelapan pada Hari Kiamat.”

(HR. Muslim)

Alangkah kecewanya orang yang menghadap Allah Ta’ala dalam keadaan dia menyekutukan-Nya kerana dia akan mengalami kerugian yang sangat besar sebagaimana firman-Nya:

“………..sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Luqman 31:13

Ayat 112

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا يَخَافُ ظُلْمًا وَلَا هَضْمًا

Dan sesiapa mengerjakan kebajikan sedang dia (dalam keadaan) beriman, maka dia tidak khuatir akan perlakuan zalim (terhadapnya) dan tidak (pula khuatir) akan pengurangan haknya.

Kemudian dalam ayat ini, Allah Ta’ala memuji orang-orang yang bertakwa dan menyatakan bahawa ketetapan-Nya kepada mereka ialah mereka tidak akan dizalimi iaitu tidak ditambah keburukan dan kebaikan mereka tidak dikurangi. Ini merupakan pendapat Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Adh-Dhahhak, Al-Hasan dan Qatadah.