Al-Quran Diturunkan sebagai Peringatan
Surah 20: Taha (1 – 8)
Ayat 1
طه
Ta Ha.
Surah ini dimulakan dengan huruf muqatta’ah. Para ulama tafsir mengatakan tujuan diletakkan huruf muqatta’ah pada surah ini dan juga pada surah-surah yang lain adalah agar diambil perhatian oleh pendengar tentang pentingnya apa yang akan disampaikan selepasnya.
Huruf muqatta’ah ini juga bertujuan menentang orang-orang Arab agar mereka mendatangkan sesuatu yang serupa dengan Al-Quran kerana Al-Quran terdiri daripada huruf-huruf yang mereka gunakan untuk bertutur dan menulis.
Ada juga pendapat mengatakan Taha adalah salah satu nama Rasulullah saw.
Ayat 2
مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ
Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Muhammad) agar kamu menjadi susah.
Ayat 3
إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ
Melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).
Jubair mengatakan daripada Ad-Dhahhak, bahawa ketika Allah Swt menurunkan Al-Quran kepada Rasul-Nya, baginda berserta para sahabatnya segera mengamalkannya. Orang-orang musyrik Quraisy mengatakan Al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad saw agar baginda menjadi susah. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat-ayat di atas.
Sebenarnya hal ini bukanlah seperti yang disangkakan oleh orang-orang yang tidak percaya kepada Al-Quran. Bahkan sesiapa yang diberikan ilmu oleh Allah Swt, maka sesungguhnya Dia menghendaki kebaikan yang banyak kepadanya. Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, maka Allah memahamkannya dalam agama.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat, “Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Muhammad) agar kamu menjadi susah, melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),” iaitu:
▪️ Mujahid mengatakan, ayat ini adalah sama dengan firman Allah Swt:
“…………………. kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada Al-Quran………………….”
Al-Muzammil 73:20
▪️ Qatadah pula mengatakan, Allah Ta’ala tidak menjadikan Al-Quran sebagai suatu yang menyusahkan tetapi Dia menjadikannya sebagai rahmat, cahaya dan petunjuk ke syurga.
Sesungguhnya, Allah Ta’ala menurunkan kitab-Nya dan mengutus Rasul-Nya sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya. Ini bertujuan agar dapat diambil manfaat daripada kitab-Nya kerana Al-Quran merupakan peringatan yang diturunkan-Nya yang di dalamnya terdapat penjelasan tentang apa yang dihalalkan dan diharamkan.
Ayat 4
تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ ٱلْأَرْضَ وَٱلسَّمَـٰوَٰتِ ٱلْعُلَى
Diturunkan daripada (Allah) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw ini adalah daripada Allah Ta’ala, Rabb segala sesuatu dan Pemilik Yang Maha Berkuasa atas apa yang dikehendaki-Nya. Dia-lah yang menciptakan bumi yang rendah, rata dan padat. Dia-lah juga yang menciptakan langit yang tinggi dengan ketinggian dan kehalusannya.
Ayat 5
ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ
(Iaitu) Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas ‘Arasy.
Ayat 6
لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ ٱلثَّرَىٰ
Milik-Nya-lah apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya, dan apa yang ada di bawah tanah.
Semua makhluk ciptaan Allah Ta’ala adalah milik-Nya, dalam genggaman-Nya dan di bawah keinginan serta ketetapan-Nya. Dia-lah Rabb yang tiada ilah yang berhak diibadahi selain-Nya dan tiada yang menguruskan semuanya kecuali Dia.
Tujuan ayat ini adalah untuk menyatakan kepada hamba-hamba-Nya tentang kesempurnaan dan keagungan Zat yang menurunkan Al-Quran agar mereka menempatkan Al-Quran sesuai dengan kemuliaannya.
Ayat 7
وَإِن تَجْهَرْ بِٱلْقَوْلِ فَإِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلسِّرَّ وَأَخْفَى
Dan jika engkau mengeraskan ucapanmu, sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.
Selain menurunkan Al-Quran, menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Allah Swt juga mengetahui rahsia yang lebih tersembunyi, seperti firman-Nya:
“Katakanlah (Muhammmad), ‘(Al-Quran) itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sungguh, Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.’”
Al-Furqan 25:6
‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, maksud ayat di atas ialah rahsia yang disembunyikan oleh manusia dalam dirinya, iaitu yang tersembunyi berupa apa yang akan dilakukannya, sebelum dia sendiri mengetahuinya, namun Allah Ta’ala mengetahui semuanya. Pengetahuan-Nya meliputi semua perkara yang telah terjadi, sedang terjadi, belum terjadi dan apa yang tidak akan terjadi.
Ayat 8
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ
(Dia-lah) Allah, tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia. Dia mempunyai Al-Asma-ul husna (nama-nama yang baik).
Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran kepada manusia, yang tiada Rabb selain Dia yang memiliki nama-nama yang terbaik dan sifat-sifat yang tinggi.
Oleh itu apakah setelah dijelaskan dalam ayat-ayat di atas tentang sifat-sifat Allah Ta’ala, masih ada manusia yang mendakwa bahawa Al-Quran adalah daripada selain-Nya? Adakah dapat dibenarkan mereka yang menjadikan berhala yang diperbuat daripada batu, kayu atau logam sebagai sekutu bagi-Nya.