Surah 2: Al-Baqarah (87 – 88) 

Sikap Orang Yahudi yang Sombong

Surah 2: Al-Baqarah (87 – 88) 


Ayat 87

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ وَقَفَّيْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ بِٱلرُّسُلِ ۖ وَءَاتَيْنَا عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدْنَـٰهُ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ ۗ أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمْ رَسُولٌۢ بِمَا لَا تَهْوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

Allah Swt mengingatkan Bani Israil bahawa Dia telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as. Kemudian diikuti selepas baginda, para rasul yang lain. Seterusnya Allah Ta’ala mengutuskan Nabi ‘Isa as dan mengurniakan beberapa mukjizat kepadanya. Antaranya ialah baginda dapat menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang sakit dan mampu memberitahu perkara-perkara yang ghaib serta diperkuatkan baginda dengan Ruhul Qudus iaitu Jibril as. 

Namun setiap kali datang kepada mereka rasul-rasul dan nabi-nabi dengan membawa keterangan daripada Allah Ta’ala, mereka bersikap sombong. Apa yang tidak seiring dengan keinginan nafsu mereka, mereka mendustakannya dan membunuh para rasul dan nabi mereka. 

Ayat 88

وَقَالُوا۟ قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ بَل لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَقَلِيلًا مَّا يُؤْمِنُونَ

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

Bani Israil mengatakan bahawa hati mereka ada tutupan. Namun sebenarnya mereka telah dilaknat oleh Allah Ta’ala dan hati mereka telah terkunci sebagaimana firman-Nya: 

“Maka (Kami lakukan terhadap mereka beberapa tindakan), disebabkan mereka melanggar perjanjian itu, dan kerana kekafiran mereka terhadap keterangan-keterangan Allah dan mereka membunuh nabi-nabi tanpa (alasan) yang benar dan mengatakan, “Hati kami tertutup.” Bahkan, sebenarnya Allah telah mengunci mati hati mereka kerana kekafiran mereka, kerana itu mereka tidak beriman kecuali sebahagian kecil daripada mereka.” 

An-Nisa’ 4:155