Surah 2: Al-Baqarah (84 – 86) 

Perjanjian dan Pengingkaran Orang Yahudi  

Surah 2: Al-Baqarah (84 – 86) 


Ayat 84

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُمْ لَا تَسْفِكُونَ دِمَآءَكُمْ وَلَا تُخْرِجُونَ أَنفُسَكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

Allah Swt mengingatkan kaum Bani Israil tentang perjanjian yang diambil ke atas mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka dilarang membunuh sesama mereka dan tidak boleh mengusir saudara mereka dari kampung halaman mereka. Mereka telah mengakui dan membenarkan janji-janji tersebut. 

Ayat 85

ثُمَّ أَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِمْ تَظَـٰهَرُونَ عَلَيْهِم بِٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَإِن يَأْتُوكُمْ أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ ۚ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَـٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْىٌ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلْعَذَابِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Seterusnya dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengecam orang-orang Yahudi di Madinah pada zaman Rasulullah saw. Mereka ini terdiri daripada tiga kabilah iaitu Bani Quraizhah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. 

Pada ketika itu banyak berlaku peperangan antara suku Aus dan Khazraj. Suku Aus dan Khazraj ini merupakan penduduk asal kota Madinah. Mereka adalah kaum musyrik yang menyembah berhala. 

Apabila berlaku peperangan, orang-orang Yahudi daripada Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir menjadi sekutu (memberi kerjasama) kepada suku Khazraj manakala Bani Quraizhah bersekutu dengan suku Aus. Mereka akan membela sekutu masing-masing. Dengan ini mereka terlibat dalam memerangi saudara mereka yang sebangsa dan seagama sehingga mereka saling menumpahkan darah antara mereka, padahal mereka sama-sama telah berjanji tidak akan menyalahi syariat seperti yang terkandung dalam kitab Taurat dan mereka mengetahuinya. 

Apabila peperangan telah selesai, sekiranya terdapat orang-orang Yahudi yang ditawan, maka ketiga-tiga kabilah Yahudi itu bersepakat untuk menebusnya, walaupun pada awalnya mereka saling berperang. 

Bani Qainuqa’ menebus saudara-saudara mereka yang ditawan oleh suku Aus. Manakala Bani Nadhir dan Bani Quraizhah menebus saudara-saudara mereka yang ditawan oleh suku Khazraj. Ini adalah kerana mereka mengamalkan sebahagian isi kandungan kitab Taurat yang mewajibkan menebus tawanan mereka. 

Golongan Yahudi ini melaksanakan suruhan Allah Ta’ala iaitu memerdekakan dan menebus orang-orang Yahudi yang ditawan tetapi pada masa yang sama, mereka melanggar larangan-larangan-Nya dengan memerangi dan mengusir bangsa Yahudi yang lain dari kampung halaman mereka. Sikap ini menunjukkan mereka hanya beriman dengan sebahagian ajaran Allah Ta’ala tetapi kufur dengan sebahagian yang lain. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa orang-orang Yahudi dan sesiapa sahaja yang memiliki sifat demikian akan mendapat kehinaan dan seksaan yang sangat pedih di akhirat kelak. 

Ayat 86

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

Mereka itu adalah orang-orang yang lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat. Oleh itu, seksaan terhadap mereka tidak akan diringankan sedikitpun dan tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.