Surah 2: Al-Baqarah (67 – 73) 

Penyembelihan Lembu Betina

Surah 2: Al-Baqarah (67 – 73) 


Ayat 67

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا۟ بَقَرَةً ۖ قَالُوٓا۟ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

Abu Hatim meriwayatkan daripada ‘Ubaidah As-Salmani, beliau berkata, di kalangan Bani Israil ada seorang lelaki yang mandul. Dia memiliki banyak harta tetapi tidak mempunyai anak. Oleh itu anak saudaranyalah yang menjadi warisnya. Pada suatu malam lelaki kaya ini dibunuh oleh anak saudaranya, kemudian mayatnya diletakkan di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kalangan Bani Israil. Keesokan harinya dia (si pembunuh) menuduh pemilik rumah itu sebagai pembunuh, lalu berlakulah pergaduhan sehingga mereka hampir saling berbunuhan. 

Beberapa orang yang bijak di kalangan mereka telah memberi cadangan agar perkara tersebut dibawa kepada Nabi Musa as agar baginda memohon kepada Allah swt untuk mengetahui siapakah pembunuh sebenar. Allah Ta’ala telah memperkenankan doa baginda dan menyatakan bahawa Allah Ta’ala telah menyuruh mereka menyembelih seekor lembu betina. 

Mereka membantah dan malah menuduh Nabi Musa as mempermainkan mereka. Baginda menjawab bahawa baginda berlindung kepada Allah swt agar tidak termasuk orang-orang yang bodoh. 

Ayat 68

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌۢ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَٱفْعَلُوا۟ مَا تُؤْمَرُونَ

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

Mereka meminta agar Nabi Musa as memohon kepada Allah swt agar diterangkan bagaimana sifat-sifat lembu tersebut. Allah Ta’ala mensyaratkan bahawa lembu yang dimaksudkan itu mestilah sederhana, tidak tua dan tidak pula muda. Setelah menyatakan syarat tersebut, Allah Ta’ala segera menyuruh mereka melaksanakan apa yang diperintahkan. Namun mereka mengemukakan lebih banyak soalan berkenaan ciri-ciri lembu tersebut. 

Ayat 69

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ صَفْرَآءُ فَاقِعٌ لَّوْنُهَا تَسُرُّ ٱلنَّـٰظِرِينَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

Mereka bertanya pula tentang warna lembu tersebut, lalu Allah swt mensyaratkan bahawa lembu betina itu mestilah warnanya kuning tua dan menyenangkan orang yang melihatnya. 

Ayat 70

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ إِنَّ ٱلْبَقَرَ تَشَـٰبَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّآ إِن شَآءَ ٱللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

Kemudian mereka menyatakan bahawa penjelasan tentang lembu itu masih lagi samar-samar. Mereka berjanji dengan pertanyaan terakhir ini insya Allah mereka akan mendapat petunjuk. 

Ayat 71

قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا ذَلُولٌ تُثِيرُ ٱلْأَرْضَ وَلَا تَسْقِى ٱلْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌ لَّا شِيَةَ فِيهَا ۚ قَالُوا۟ ٱلْـَٔـٰنَ جِئْتَ بِٱلْحَقِّ ۚ فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا۟ يَفْعَلُونَ

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

Akhirnya mereka menyembelih lembu setelah diberikan penjelasan terhadap soalan-soalan yang mereka kemukakan. Namun begitu mereka hanya dapat melakukannya setelah bersusah payah mencarinya. 

Ini merupakan celaan kepada mereka kerana tujuan mereka hanyalah untuk menunjukkan kesombongan. Oleh sebab itu mereka hampir-hampir tidak dapat melakukan penyembelihan. Allah swt menyukarkan mereka mendapatkan lembu yang berpadanan dengan ciri-ciri yang telah dinyatakan. Sedangkan hal itu pasti lebih mudah sekiranya mereka segera menurut perintah tanpa banyak menyoal. 

Ayat 72

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَٱدَّٰرَْٰٔتُمْ فِيهَا ۖ وَٱللَّهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

Bani Israil telah membunuh salah seorang daripada kaum mereka sendiri dan saling tuduh-menuduh, sedangkan pada ketika itu tidak ada sesiapa pun yang menyaksikannya. Allah Ta’ala mengkehendaki kebenaran yang disembunyikan oleh Bani Israil itu disingkapkan melalui lidah mangsa yang terbunuh itu sendiri. 

Perintah penyembelihan itu merupakan satu cara penyelesaian untuk menghidupkan mangsa yang terbunuh dan menceritakan sendiri siapa pembunuh yang sebenar. 

Ayat 73

فَقُلْنَا ٱضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا ۚ كَذَٰلِكَ يُحْىِ ٱللَّهُ ٱلْمَوْتَىٰ وَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu” (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

Allah swt menyuruh Bani Israil memukul mayat tersebut dengan sebahagian anggota lembu betina yang telah disembelih itu lalu mayat itu hidup kembali dan menceritakan siapa pembunuhnya yang sebenar. Kemudian Dia mematikanya semula. 

Dalam peristiwa penyembelihan ini terdapat beberapa perkara yang tersirat: 

  • Krisis permusuhan dan pertikaian yang terjadi di antara mereka dapat diselesaikan.
  • Hujjah dapat ditegakkan kepada mereka secara langsung tentang kekuasaan Allah Ta’ala dengan menghidupkan orang yang telah mati. Terbukti bahawa Dia juga dapat mengembalikan seluruh kekuatan pancaindera, ingatan orang yang telah mati itu dan fikirannya sehingga dapat memberitahu orang yang melakukan jenayah pembunuhan itu. 
  • Penjelasan kepada mereka bahawa sesungguhnya hal ini amatlah mudah bagi Allah swt. 

Terdapat banyak ayat yang menyatakan tentang kekuasaan Allah Ta’ala, antaranya yang disebut dalam surah ini ialah pada firman-firmanNya: 

“Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur.” 

Al-Baqarah 2:56 

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Wahai Rabbku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman, “Apakah engkau belum yakin?” Ibrahim menjawab, “Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku).” Allah berfirman, “(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.” Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 

Al-Baqarah 2:260