Surah 2: Al-Baqarah (65 – 66) 

Pelanggaran Larangan Hari Sabtu

Surah 2: Al-Baqarah (65 – 66) 


Ayat 65

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ ٱلَّذِينَ ٱعْتَدَوْا۟ مِنكُمْ فِى ٱلسَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Hari Sabtu adalah hari yang disyariatkan kepada orang-orang Yahudi untuk beribadah kepada Allah Swt. Mereka diperintahkan supaya menghormati hari tersebut dengan menumpukan perhatian hanya untuk beribadah dan meninggalkan segala urusan duniawi. 

Namun mereka melanggar perintah Allah Ta’ala dengan membuat tipu daya untuk menangkap ikan dengan memasang perangkap ikan sebelum hari Sabtu. Apabila ikan-ikan terperangkap pada hari Sabtu, mereka mengambil ikan-ikan tersebut pada malam Ahad. Oleh itu, Allah Ta’ala telah menukar mereka menjadi kera, sebagaimana firman-Nya: 

“Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang letaknya berdekatan laut ketika mereka melanggar peraturan pada hari Sabtu, (iaitu) ketika datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabtu ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan kefasikan mereka.” 

Al-A’raf 7:163 

Jumhur mufassir mentafsirkan bahawa mereka betul-betul berubah menjadi kera, tetapi mereka tidak mempunyai zuriat, tidak makan dan minum, dan hanya boleh hidup tidak lebih daripada tiga hari. 

Ayat 66

فَجَعَلْنَـٰهَا نَكَـٰلًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهَا وَمَا خَلْفَهَا وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.

Allah Swt menjadikan hukuman ini sebagai peringatan kepada orang-orang yang melanggar ketentuan Allah Ta’ala, sama ada kepada mereka yang hidup semasa kejadian itu ataupun kepada sesiapa sahaja yang datang kemudian hingga ke hari kiamat. Ia juga sebagai pengajaran atau nasihat yang berguna kepada orang-orang yang bertakwa kerana orang-orang yang bertakwa sentiasa memelihara diri daripada melanggar perintah Allah Swt.