Bukit Tursina Diangkatkan ke atas Bani Israil
Surah 2: Al-Baqarah (63 – 64)
Ayat 63
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُوا۟ مَآ ءَاتَيْنَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَٱذْكُرُوا۟ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertakwa.
Ketika Allah Swt mengambil perjanjian dengan Bani Israil, Dia mengangkat Bukit Tursina ke atas mereka supaya mereka mengakui janji yang telah diikrarkan dan berniat untuk berpegang teguh kepada isi Taurat, memahami maknanya dan mengamalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya, sebagaimana firman-Nya:
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengangkat bukit ke atas mereka seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahawa bukit itu akan jatuh menimpa mereka. (Dan Kami katakan kepada mereka), ‘Peganglah dengan teguh apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta ingatlah selalu (amalkanlah) apa yang tersebut di dalamnya supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.’”
Al-A’raf 7:171
Ayat 64
ثُمَّ تَوَلَّيْتُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۖ فَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ لَكُنتُم مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.
Namun mereka berpaling dan melanggar perjanjian sebagaimana yang biasa mereka berulang-ulang kali melakukannya. Sekiranya bukan kerana rahmat dan kasih sayang daripada Allah Ta’ala dengan menerima taubat mereka nescaya mereka rugi di dunia dan di akhirat akibat perlanggaran perjanjian tersebut.