Surah 2: Al-Baqarah (55 – 56) 

Permintaan untuk Melihat Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (55 – 56) 


Ayat 55

وَإِذْ قُلْتُمْ يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

Setelah peristiwa penyembahan patung anak lembu di kalangan Bani Israil, Allah Swt memerintahkan Nabi Musa as agar memilih 70 orang Bani Israil pergi bersama-samanya ke Bukit Tursina untuk memohon keampunan-Nya. 

Namun apabila sampai di sana, kaum Nabi Musa as mengatakan mereka sekali-kali tidak akan percaya kepada kata-kata baginda bahawa Taurat itu merupakan kitab Allah Ta’ala selagi mereka tidak melihat-Nya dengan mata kepala mereka sendiri tanpa tabir atau terselindung sedikit pun. 

Akibat kesombongan dan kedegilan mereka yang meminta untuk melihat Allah Ta’ala itu, Dia menurunkan api dari langit (halilintar) sehingga sebahagian daripada mereka mati manakala sebahagian yang lain menyaksikan kejadian itu. 

Ayat 56

ثُمَّ بَعَثْنَـٰكُم مِّنۢ بَعْدِ مَوْتِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

Kemudian Allah Swt menghidupkan mereka kembali setelah kematian akibat panahan halilintar tersebut agar mereka mensyukuri nikmat Allah Ta’ala. Kematian tersebut merupakan bentuk hukuman kepada mereka. Kemudian Allah Ta’ala menghidupkan mereka kembali untuk menghabiskan sisa umur mereka. 

Para mufassirin berbeza pendapat dalam mentafsirkan mati yang dimaksudkan dalam ayat ini, iaitu adakah mati yang sebenarnya akibat sambaran halilintar ataupun pengsan.  

Kisah yang lebih terperinci tentang hal di atas disebutkan dalam Surah Al-A’raf, ayat 155. 

“Dan Musa memilih tujuh puluh orang daripada kaumnya untuk (memohon taubat kepada Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan. Ketika mereka ditimpa gempa bumi, Musa berkata, ‘Wahai Tuhanku, jika Engkau kehendaki, tentulah Engkau membinasakan mereka dan aku sebelum ini. Apakah Engkau membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang kurang berakal di antara kami?’” 

Al-A’raf 7:155