Surah 2: Al-Baqarah (49 – 50) 

Bani Israil Diselamatkan dari Kezaliman Firaun

Surah 2: Al-Baqarah (49 – 50) 


Ayat 49

وَإِذْ نَجَّيْنَـٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Allah Ta’ala mengingatkan Bani Israil tentang nikmat-nikmat yang diberikan kepada mereka ketika Dia menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun dan pengikut-pengikutnya. Firaun dan para pengikutnya telah menimpakan seksaan yang sangat berat dan sangat pedih terhadap Bani Israil. Mereka menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil yang baru lahir dan membiarkan hidup anak-anak perempuan. 

Selain itu, Firaun memerintahkan agar Bani Israil dijadikan orang suruhan dalam pelbagai bidang seperti perladangan dan pembangunan dengan pekerjaan yang berat lagi hina. Sesiapa di antara mereka yang tidak mampu bekerja akan dibebankan dengan membayar jizyah atau cukai. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.” 

Al-Qasas 28:4

Perintah membunuh anak-anak lelaki Bani Israil adalah berpunca daripada peristiwa Firaun (yang dilaknat oleh Allah Swt) telah bermimpi dan dalam mimpinya itu, dia melihat api keluar dari Baitul Maqdis dan membakar rumah-rumah penduduk Qibti (bangsa Firaun) di Mesir namun tidak membakar rumah-rumah Bani Israil. 

Kemudian ada yang menafsirkan mimpi tersebut dengan mengatakan bahawa akan lahir seorang bayi daripada kaum Bani Israil yang akan meraih kekuasaan dan kedudukan yang tinggi. Ini sangat merisaukan Firaun sehingga dia memerintahkan setiap bayi lelaki Bani Israil dibunuh. 

Ayat 50

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ ٱلْبَحْرَ فَأَنجَيْنَـٰكُمْ وَأَغْرَقْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

Nikmat lain yang dikurniakan kepada Bani Israil ialah mereka diselamatkan daripada dikejar dan dibunuh oleh Firaun dan tenteranya. Allah Swt telah membelah lautan dan menenggelamkan Firaun serta tenteranya di tengah-tengah lautan tersebut. Nikmat inilah yang patut mereka syukuri, apatah lagi berlaku di hadapan mata mereka sendiri.