Surah 2: Al-Baqarah (47) 

Surah 2: Al-Baqarah (47) 

Peringatan kepada Bani Israil tentang Nikmat Allah


Ayat 47

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّى فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

Ayat ini sekali lagi mengingatkan Bani Israil tentang nikmat-nikmat Allah swt kepada mereka. Seruan pertama pada ayat ke-40 menuntut mereka agar beribadah dan setia dengan perjanjian. 

Dalam ayat ini pula menuntut agar mereka mensyukuri nikmat dan mengingatkan mereka bahawa mereka diberikan keutamaan mengatasi umat-umat yang lain pada zaman mereka dengan jumlah nabi yang banyak sebagaimana firmanNya: 

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikanNya kamu orang-orang merdeka, dan diberikanNya kepadamu apa yang belum pernah Dia berikan kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain.’” 

Al-Ma’idah 5:20 

Namun perlu difahami bahawa ini hanya berlaku pada zaman tersebut kerana setiap zaman memiliki umat. Manakala umat Nabi Muhammmad saw adalah lebih mulia  daripada Bani Israil seperti firman Allah Ta’ala: 

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” 

Ali ‘Imran 3:110