Larangan Mencampuradukkan Hak dan Batil
Surah 2: Al-Baqarah (42)
Ayat 42
وَلَا تَلْبِسُوا۟ ٱلْحَقَّ بِٱلْبَـٰطِلِ وَتَكْتُمُوا۟ ٱلْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Allah Swt melarang orang-orang Yahudi mencampuradukkan ajaran Yahudi dengan ajaran Islam. Ini kerana mereka mengetahui bahawa agama Allah Ta’ala adalah Islam sedangkan agama Yahudi adalah agama yang mereka telah ada-adakan dan bukan daripada-Nya.
Mereka juga dilarang menyembunyikan kebenaran tentang kerasulan Nabi Muhammad saw. Ini kerana mereka amat mengetahui sifat-sifat baginda yang telah diterangkan dalam kitab Taurat. Antara perkara yang disembunyikan oleh Bani Israil ialah tentang berita bahawa Allah Ta’ala akan mengutuskan seorang Nabi daripada keturunan Nabi Ismail as. Nabi tersebut ialah Nabi Muhammad saw yang akan membina tamadun umat Islam yang ramai kemudian hari.
Oleh itu, sesiapa sahaja daripada kalangan ulama yang menerangkan kebenaran dan tidak mencampuradukkan dengan yang batil, maka dia termasuk para pewaris rasul. Jika sebaliknya, dia termasuk hamba yang akan diseksa dalam neraka Jahannam.