Surah 2: Al-Baqarah (284) 

Ilmu Allah Swt Meliputi Segala Sesuatu  

Surah 2: Al-Baqarah (284) 


Ayat 284

لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا۟ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ ٱللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia yang memiliki kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya. Dia selalu mengawasi segala sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya sama ada yang kecil ataupun yang besar termasuk apa yang ada dalam hati setiap makhluk-Nya. Allah bukan sahaja mengetahui malah Dia juga akan menghisab semua yang ada dalam hati manusia. Oleh itu, para sahabat berasa sangat berat dan takut terhadap perhitungan Allah sehingga apa yang ada dalam hati mereka pun akan dihisab. 

Imam Muslim dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia berkata bahawa ketika turun ayat ini, para sahabat berasa sangat berat, lalu mereka menemui Rasulullah saw, kemudian berlutut dan berkata, “Wahai Rasulullah, kami dibebani dengan amal berat yang kami tidak sanggup melakukannya. (Sudah ada beban) solat, puasa, jihad dan sedekah. Sesungguhnya telah diturunkan kepadamu ayat ini dan kami tidak sanggup memikulnya,” maka Baginda bersabda, “Apakah kamu ingin mengatakan seperti yang dikatakan oleh ahli kitab sebelum kamu, iaitu, “Kami mendengar, namun kami menderhakainya? Bahkan katakanlah, “Kami mendengar dan kami taat. Kami mohon keampunan-Mu wahai Rabb kami dan kepadaMu tempat kembali.” Mereka pun berkata, “Kami mendengar dan kami taat. Kami mohon keampunan-Mu wahai Rabb kami dan kepadaMu tempat kembali.” Ketika mereka telah mengucapkannya, maka hati mereka pun tunduk. 

Setelah para sahabat menerima ayat ini dan lidah mereka mengucapkannya dan hati mereka tunduk padanya, lalu Allah Swt menurunkan ayat seterusnya iaitu ayat 285 dan menasakhkan (menghapuskan) ayat 284. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah memberikan untukku kemaafan bagi umatku atas apa yang dikatakan hatinya selama mana tidak diucapkan atau dikerjakannya.” 

(HR. Muslim)

“Allah Ta’ala berfirman, ‘Apabila tergerak dalam hati hamba-Ku untuk berbuat keburukan, maka janganlah kalian (malaikat) menuliskannya baginya (sebagai keburukan). Jika Dia melakukannya maka tulislah baginya satu keburukan. Dan jika tergerak dalam hatinya untuk berbuat kebaikan maka tulislah baginya satu kebaikan. Dan jika dia melakukannya maka tulislah baginya sepuluh kebaikan.’” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)