Surah 2: Al-Baqarah (283) 

Hukum Gadai

Surah 2: Al-Baqarah (283) 


Ayat 283

وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا۟ كَاتِبًا فَرِهَـٰنٌ مَّقْبُوضَةٌ ۖ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُم بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ ٱلَّذِى ٱؤْتُمِنَ أَمَـٰنَتَهُۥ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ ۗ وَلَا تَكْتُمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَ ۚ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُۥٓ ءَاثِمٌ قَلْبُهُۥ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu bermusafir dan terpaksa berhutang tetapi tidak menemui penulis untuk mencatat surat perjanjian atau kerana sebab-sebab lain yang memungkinkan surat perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah diserahkan kepada pemberi pinjaman hutang itu sesuatu barang yang boleh dijadikan jaminan di sisinya sehingga orang yang berhutang itu menunaikan tanggungjawabnya. 

Apabila berlaku saling tidak percaya antara satu sama lainnya, maka barang gadaian atau pajakan (rahn) itu perlu diadakan sehingga orang yang berhutang membayar hutangnya. Gadaian juga dibolehkan ketika tidak safar (tidak berada dalam keadaan bermusafir) dan ada orang yang menulis. 

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah saw ketika wafat masih tergadai baju besinya di tangan salah seorang Yahudi untuk pinjaman sebanyak 30 wasaq gandum. Baginda meminjamnya untuk memberi makan keluarga Baginda. 

(1 wasaq = 60 sha’, 1 sha’ dalam timbangan sekarang = 3 kg) 

Sekiranya orang yang berhutang dan pemberi hutang saling mempercayai antara satu sama lain, maka tidak ada dosa untuk tidak mengadakan penulisan, persaksian dan jaminan barang. Namun pihak yang berhutang mestilah menjaga kepercayaan yang diberikan kepadanya dan hutang itu tetap menjadi amanahnya (tanggungjawab) untuk membayarnya. Orang yang berhutang juga tidak boleh mengkhianati atau melambatkan pembayaran hutangnya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah dan berasa sentiasa diawasi oleh-Nya. 

Dalam ayat ini juga terdapat larangan menyembunyikan persaksian dengan cara tidak bersedia memberikan kesaksian. Oleh itu apabila orang yang berhutang itu mengingkari kewajipan hutangnya, dan ada yang hadir menyaksikannya, maka kewajipan saksi adalah menyatakan persaksiannya. Sesiapa yang menyembunyikan persaksian tersebut, maka dia adalah pengkhianat. Menurut Ibnu ‘Abbas ra dan ulama’ yang lain, kesaksian palsu dan menyembunyikan persaksian adalah termasuk salah satu dosa besar yang paling besar. Firman-firman AllahSwt: 

“………………dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah, sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa.” 

Al-Ma’idah 5:106 

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” 

An-Nisa’ 4:135 

 

Allah Ta’ala mengetahui rahsia hati kerana ilmu-Nya meliputi seluruh alam. Dia akan memberikan balasan kepada hamba-hamba-Nya sesuai dengan amal perbuatan mereka.