Surah 2: Al-Baqarah (282) 

Perintah Mencatat Hutang  

Surah 2: Al-Baqarah (282) 


Ayat 282

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْـًٔا ۚ فَإِن كَانَ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُۥ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَٱسْتَشْهِدُوا۟ شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَٱمْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَىٰهُمَا ٱلْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ ٱلشُّهَدَآءُ إِذَا مَا دُعُوا۟ ۚ وَلَا تَسْـَٔمُوٓا۟ أَن تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَىٰٓ أَجَلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَـٰدَةِ وَأَدْنَىٰٓ أَلَّا تَرْتَابُوٓا۟ ۖ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا ۗ وَأَشْهِدُوٓا۟ إِذَا تَبَايَعْتُمْ ۚ وَلَا يُضَآرَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ ۚ وَإِن تَفْعَلُوا۟ فَإِنَّهُۥ فُسُوقٌۢ بِكُمْ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱللَّهُ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ayat di atas adalah ayat tentang hutang dan merupakan ayat terpanjang dalam Al-Quran. Ayat ini juga merupakan nasihat dan bimbingan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman sekiranya mereka melakukan muamalat. Muamalat ialah seperti berjual beli, tukar-menukar, pinjam meminjam, akad salam (jual beli yang barangnya diberi tempoh atau bayaran disegerakan – online), qardh (hutang piutang), atau sewa menyewa dan sebagainya. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa apabila ingin melakukan urusan jual beli secara tidak tunai, surat yang lengkap dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan tempoh pembayaran hendaklah ditulis sebagai bukti. Ini adalah untuk lebih menguatkan bukti dan juga merupakan perintah daripada Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw: 

“Barangsiapa meminjamkan sesuatu, maka hendaklah dia melakukannya dengan sukatan dan timbangan yang disepakati (jelas) sampai batas waktu (tempoh) yang ditentukan.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Penulis mestilah seorang yang dipercayai, adil, memahami hukum-hukum syariat, cerdas dan cermat dalam penulisannya. Dia hendaklah menulis dengan benar dan jujur tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Dia mestilah bersikap adil dengan tidak mengurangi atau menambah isi perjanjian dan tidak boleh bersikap merugikan mana-mana pihak. 

Penulis tidak boleh menolak jika diminta untuk menjadi penulis perjanjian, berbuat baik kepada orang-orang yang tidak pandai menulis dan hendaklah dia menuliskan bagi pihak mereka. Oleh itu belajar menulis adalah disyariatkan, bahkan hukumnya fardhu kifayah, kerana dalam ayat ini Allah memerintahkan untuk mencatat hutang. Sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya termasuk sedekah jika engkau membantu seseorang yang berbuat (kebaikan) atau berbuat baik kepada orang yang bodoh.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Orang yang berhutang itu hendaklah mengimla’ iaitu menyebut apa yang akan ditulis kepada penulis jumlah hutang yang menjadi tanggungjawabnya untuk melaksanakan isi kandungan surat itu dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah dengan tidak menyembunyikan sesuatu apa pun daripadanya. 

Sekiranya orang yang berhutang itu lemah akalnya, tidak pandai mengatur kewangan dengan baik atau lemah keadaannya sama ada sebab masih kecil, bodoh atau sudah lanjut usianya dan nyanyuk, yang tidak mampu melihat dengan baik dan benar, maka menjadi tanggungjawab walinya atau penulis atau juru bicara mengambil alih membacakan isi surat perjanjian tersebut. 

Wali mestilah seorang yang adil. Pengurusan yang berkaitan dengan harta tidak boleh dilakukan oleh anak kecil, orang dungu, orang gila dan kurang akal dan sebagainya. Tindakan mereka (terhadap harta) tidak sah kerana Allah menyerahkan pegangan kepada wali mereka. 

Selain penulisan surat perjanjian, kesaksian juga diperlukan untuk menambahkan kekuatan bukti. Hal ini hanya berlaku kepada perkara yang bersangkutan dengan harta dan hal yang dikira sebagai kekayaan. Larangan bagi saksi ataupun pencatat memudaratkan pemilik hak seperti enggan bersaksi atau meminta upah yang besar. 

Bilangan saksi yang diperlukan dalam perjanjian hutang ini ialah sama ada dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Saksi mestilah Islam, adil dan merdeka. Dua orang saksi daripada wanita bersamaan seorang lelaki adalah sebagai At-Tazkir iaitu agar saling mengingatkan antara kedua-duanya untuk menjaga dan melindungi hukum persaksian tersebut. Ini kerana wanita kurang memiliki perhatian terhadap urusan muamalah dan dunia perniagaan dan sering lupa. Para saksi dilarang menolak untuk menjadi saksi atau enggan untuk melakukan tugas penulisan. Firman Allah: 

“…………..dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata…………….” 

At-Talaq 65:2 

Rasulullah saw bersabda: 

“Adapun yang dimaksudkan dengan lemahnya akal adalah kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki, yang demikian itu termasuk lemahnya akal. Dan kalian berdiam diri selama beberapa malam, tidak mengerjakan solat, dan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan (kerana haid dan nifas). Dan hal itu termasuk daripada kekurangan agama.” 

(HR. Muslim) 

Apabila saksi-saksi ini dipanggil untuk memberi kesaksian, maka hendaklah mereka memenuhi panggilan tersebut kerana dia bertanggungjawab terhadap apa yang pernah disaksikannya. Larangan memudaratkan penulis dan saksi misalnya memanggilnya ketika dia sedang sakit, sibuk atau sedang kepenatan. Saksi apabila dipanggil sedangkan dirinya tidak ada uzur, maka wajib memenuhi panggilan. 

Antara hikmah di sebalik semua perintah dan larangan yang berkaitan dengan persaksian secara penulisan dan lisan ialah: 

  • Lebih menjamin kebenaran dalam melaksanakan hukum Allah Ta’ala kerana ada bukti yang tertulis dan juga lisan. Hal ini lebih dekat kepada kebenaran dan boleh terhindar daripada kebohongan atau manipulasi.  
  • Lebih menjamin bahawa persaksian yang diberikan itu memang benar dan sesuai dengan kenyataan.  
  • Boleh menghilangkan keraguan dalam menentukan jenis, bentuk, jumlah dan tempoh pembayaran hutang yang ada. 

Manakala muamalat yang dilakukan secara tunai, maka tidak perlu untuk mencatatnya dan tidak berdosa sekiranya ditinggalkan kerana urusan berjual beli ini tidak akan menimbulkan perselisihan dan adanya rukhshah (keringanan) dalam hal ini. Namun disyariatkan mengadakan saksi walaupun diberikan rukhshah tersebut kerana boleh berlaku perselisihan, seperti firman Allah: 

“……………Jikalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Rabbnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Baqarah 2:283 

Allah Ta’ala menjelaskan tentang perintah dan larangan dalam ayat ini untuk menegakkan kebenaran dan keadilan kerana Islam adalah agama kebenaran dan keadilan. Sekiranya ada yang menyalahi apa yang telah diperintahkanNya, maka itu merupakan suatu kefasikan pada diri mereka. 

Allah Ta’ala menyeru hamba-hambaNya agar bertakwa kepadaNya dengan menjalankan segala perintah dan meninggalkan laranganNya termasuklah larangan merugikan orang lain serta sentiasa berasa diawasi olehNya kerana Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Syariat dan hukum-hukumNya adalah kebijaksanaan dan keadilanNya. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” 

Al-Hadid 57:28