Surah 2: Al-Baqarah (277 – 281) 

Perintah Meninggalkan Riba 

Surah 2: Al-Baqarah (277 – 281) 


Ayat 277

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala dan hari akhirat dan mereka melakukan amal-amal soleh, mendirikan solat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dan RasulNya dan mengeluarkan zakat, maka bagi mereka pahala yang besar. Mereka tidak berasa takut dengan kehidupan di akhirat dan tidak berasa sedih terhadap kehilangan kenikmatan dunia yang mereka tinggalkan. 

Ayat 278

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Ayat ini merupakan peringatan keras dan ancaman yang sangat tegas kepada orang-orang yang masih tetap mengamalkan riba setelah terdapat larangan mengambilnya. Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar bertakwa kepadaNya iaitu dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Oleh itu Dia memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar meninggalkan sisa-sisa riba yang masih berbaki iaitu yang masih belum dikutip daripada peminjam dan janganlah kembali mengamalkan riba. 

Ayat 279

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Sesiapa yang tidak mahu meninggalkan riba dan tetap memungut sisa riba yang ada maka dia adalah musuh Allah Ta’ala dan RasulNya. Murka dan ancaman seksaanNya bagi mereka yang ingkar di dunia dan akhirat.  

Sesiapa yang meninggalkan riba maka dia memperoleh hartanya kembali, dengan ini dia tidak menzalimi orang lain dengan mengambil riba daripadanya dan dia juga tidak dizalimi. 

Ayat 280

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Allah Ta’ala memerintahkan agar bersabar jika orang yang meminjam berada dalam kesulitan untuk membayar hutang. Orang-orang Jahiliah dahulu jika salah seorang di antara mereka memberi pinjaman, dia akan meminta bayaran tambahan (bunga) apabila melebihi tempoh pembayaran. Oleh itu Allah Ta’ala memerintahkan untuk menghapuskannya sahaja dan Dia menyediakan kebaikan dan pahala yang melimpah atas hal itu. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesiapa yang memberi tangguh orang yang susah atau membebaskannya, maka dia berada di bawah naungan ‘Arsy pada hari kiamat kelak.” 

(HR. Ahmad) 

Ayat 281

وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Allah Ta’ala mengingatkan hamba-hambaNya bahawa dunia ini hanya sementara dan harta kekayaan akan musnah. Semua makhluk akan kembali kepadaNya dan mereka akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka amalkan. 

Perintah dan penjelasan dalam ayat ini adalah supaya hamba-hambaNya bertakwa dan berwaspada terhadap hari yang sangat besar iaitu hari semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah. Dia yang akan menghisab amal perbuatan sama ada baik atau buruk. Setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan apa yang telah diamalkannya ketika di dunia. Dia tidak akan mengurangi pahala atau melebihi hukuman ke atas hamba-hambaNya. FirmanNya: 

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada sesiapa yang akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” 

Al-Anbiya’ 21:47