Surah 2: Al-Baqarah (275 – 276)

Haramnya Riba dan Balasan bagi Pelaku Riba

Surah 2: Al-Baqarah (275 – 276) 


Ayat 275

ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْبَيْعُ مِثْلُ ٱلرِّبَوٰا۟ ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلْبَيْعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ ۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Riba ertinya adalah al-ziyadah (tambahan).  

  • Daripada segi bahasa, bermaksud tambahan atau kenaikan.  
  • Secara istilah, ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman. Manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang bermuamalat dengan memakan riba dan mengambil harta kekayaan orang lain dengan cara batil dan juga syubhah (perkara yang samar-samar antara halal dan haram), akan dibangkitkan dari kubur dalam keadaan seperti orang kerasukan syaitan. Ini adalah gambaran yang sangat teruk dan mengerikan. 

Ketika di dunia dahulu mereka mengambil riba dan menghalalkannya kerana kecintaan yang berlebihan terhadap harta benda dan menurut hawa nafsu serta menyamakannya dengan berjual beli. Ini menunjukkan mereka dengan sengaja menentang hukum-hukum Allah Swt, sedangkan Dia telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. Sabda Rasulullah saw: 

“Allah melaknat orang yang memakan riba, yang memberi makan dengan riba, dua orang saksinya dan orang yang mencatatnya.” 

(HR. Muslim) 

Apabila seseorang itu telah mengetahui tentang larangan memakan riba lalu dia berhenti mengambilnya maka tidak ada dosa baginya mengambil keuntungan daripada hasil riba (muamalat) itu sebelum pengharamannya. Firman Allah Swt: 

“……………Allah telah memaafkan apa yang telah lalu. Dan barangsiapa yang kembali mengerjakannya, nescaya Allah akan menyeksanya. Allah Maha Kuasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) menyeksa.” 

Al-Ma’idah 4:95 

Ketika pembebasan kota Mekah, Rasulullah saw bersabda: 

“Setiap bentuk riba pada masa jahiliah diletakkan (dihapuskan) di bawah kedua kakiku ini dan riba yang pertama kali aku letakkan adalah riba Al-‘Abbas.” 

(HR. Abu Daud) 

Oleh itu, Rasulullah saw tidak menyuruh para sahabat mengembalikan keuntungan yang mereka dapat ketika zaman jahiliah kerana Allah telah memaafkan mereka atas apa yang telah berlalu. 

Namun barangsiapa kembali mengambil riba setelah diharamkan, maka dia sememangnya layak mendapat hukuman dan kekal dalam neraka Jahannam. Sabda Rasulullah saw: 

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan riba maka dia telah mengumumkan perang terhadap Allah dan Rasul-Nya.” 

(HR. Abu Daud) 

Ayat 276

يَمْحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰا۟ وَيُرْبِى ٱلصَّدَقَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Riba mempunyai banyak keburukannya dan harta yang diperoleh daripada riba tidak akan diberkati. Allah Ta’ala akan menghilangkan keberkatan sehingga seseorang itu tidak memperoleh manfaaat daripadanya. Harta itu tidak bertambah meskipun pada pandangan kasar ada yang bertambah dengan adanya riba. Sebenarnya harta tersebut sedang menuju kemusnahan. Allah membenci riba kerana orang yang mengamalkan riba sebenarnya mengambil kesempatan atas kelemahan orang-orang yang terdesak dan amat perlu membuat hutang. 

Ibnu Jarir mengatakan ayat, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.” adalah sama seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah saw bersabda: 

“Riba itu walaupun pada awalnya banyak namun pada akhirnya akan jadi sedikit.” 

(HR. At-Thabari) 

Riba berlawanan dengan sedekah. Allah Ta’ala memberkati sedekah, menjadikannya bertambah dan berkembang serta melipatgandakan pahalanya. Orang yang bersedekah tidak berkurang hartanya kerana Dia akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Selain sedekah dicintai Allah Ta’ala, ia juga dapat menambahkan kasih sayang antara manusia. Firman-Nya: 

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.” 

Al-Ma’idah 5:100

Allah Ta’ala membenci orang yang hatinya selalu ingkar, melakukan dosa baik dengan ucapan mahupun dengan perbuatan. Seseorang yang mengambil riba pada hakikatnya dia tidak mahu menerima yang halal yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala dan dia tidak pernah berasa cukup dengan usaha yang halal. Bahkan dia berusaha memakan harta orang lain dengan cara yang batil iaitu dengan usaha yang tidak elok. Sesungguhnya dia telah mengingkari nikmat yang telah diberikan kepadanya, berlaku zalim dan berbuat dosa dengan memakan harta orang lain secara batil.