Surah 2: Al-Baqarah (270 – 271) 

Allah Swt Maha Mengetahui Segala Rahsia

Surah 2: Al-Baqarah (270 – 271) 


Ayat 270

وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُهُۥ ۗ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Allah Swt menyatakan sesungguhnya Dia Maha Mengetahui seluruh perbuatan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, apa sahaja yang diinfakkan sama ada ikhlas kerana-Nya atau kerana sesuatu yang selain-Nya seperti riya’ atau bersedekah diikuti dengan mengungkit-ungkit atau apa yang dinazarkan dalam ketaatan atau maksiat, Dia mengetahuinya. Dia akan memberi balasan sesuai dengan apa yang diniatkan dan amalan hamba-hamba-Nya.  

Maksud nazar dalam ayat ini adalah mewajibkan sesuatu dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Rasulullah saw bersabda:  

“Nazar ada dua jenis. Pertama ialah nazar dalam ketaatan kepada Allah, maka nazar ini adalah untuk Allah dan wajib menunaikannya. Nazar yang kedua ialah nazar dalam perkara kemaksiatan kepada Allah, maka nazar seperti ini adalah untuk syaitan dan tidak boleh menunaikannya tetapi hendaklah membayar kafarah. Adapun kafarahnya adalah sama dengan kafarah sumpah” 

(HR. An-Nasa’i) 

Allah Ta’ala menjamin bahawa Dia akan memberikan balasan yang lebih banyak kepada orang-orang yang bersedekah dengan tujuan mendapatkan keredhaan-Nya dan mengharapkan janji-Nya.  

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala memberikan ancaman kepada orang-orang yang tidak mentaati-Nya, mendustakan-Nya dan beribadah kepada selain-Nya. Mereka ini adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim dan mereka tidak akan mendapat pertolongan kerana tidak ada yang dapat melepaskan mereka daripada azab Allah. Firman-Nya:  

“Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang berasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.” 

Ghafir 40:18 

Ayat 271

إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Dalam ayat ini, terdapat dalil yang menujukkan bahawa memberi sedekah secara sembunyi-sembunyi lebih baik daripada memberinya secara terang-terangan kerana itu lebih selamat daripada riya’.  

Walaupun begitu memperlihatkan sedekah kadang-kadang lebih afdhal dilakukan jika mendatangkan kemaslahatan yang jelas. Antaranya sebagai teladan untuk mendorong manusia lain mencontohinya. Rasulullah saw bersabda:  

“Orang yang membaca Al-Quran dengan menguatkan suaranya adalah sama seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan. Manakala orang yang membaca Al-Quran secara perlahan seperti orang yang bersedekah secara sembunyi.” 

(HR. Abu Daud) 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala berjanji bahawa Dia akan meninggikan darjat orang yang menafkahkan hartanya dan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.