Allah Swt Memberikan Hikmah Kebijaksanaan kepada Sesiapa yang Dikehendaki-Nya
Surah 2: Al-Baqarah (269)
Ayat 269
يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Allah Swt menganugerahkan kebenaran dalam ucapan dan perbuatan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang mendapat anugerah ini sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.
Terdapat beberapa makna hikmah, antaranya ialah:
- ‘Ali bin Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa yang dimaksudkan dengan hikmah ialah pengetahuan yang mendalam tentang Al-Quran.
- Ilmu bermanfaat yang diamalkan dan disebarkan seperti hadis daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata dia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Tidak dibolehkan hasad (dengki) kecuali terhadap dua orang iaitu orang yang diberikan kekayaan oleh Allah lalu dia menggunakannya dalam kebenaran (kebaikan) dan terhadap orang yang diberikan hikmah oleh Allah lalu dia mengamalkannya dan dia mengajarkannya (kepada orang lain).”
(HR. Ahmad)
Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala ilmu yang bermanfaat, terutama pemahaman terhadap Al-Quran dan As-Sunnah serta diberikan petunjuk hidayah akal, maka dia telah ditunjukkan kepada kebaikan dunia dan akhirat serta mampu memahami segala sesuatu sesuai dengan hakikatnya.
Hanya orang-orang yang memiliki hati dan akal yang sihat sahaja yang dapat mengambil maanfaat daripada suatu nasihat dan peringatan. Mereka ini dapat memahami pesanan agama dan juga maksud ayat-ayat Allah Swt.