Larangan Menyakiti Perasaan Penerima Infak serta Perintah supaya Bersikap Lembut terhadap Orang yang Meminta
Surah 2: Al-Baqarah (262 – 264)
Ayat 262
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّا وَلَآ أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Allah Ta’ala menyebutkan beberapa syarat agar diberikan-Nya ganjaran pahala yang berlipatganda kepada orang-orang yang menafkahkan harta mereka, iaitu:
- Menafkahkan harta mereka dengan hati yang ikhlas.
- Mereka tidak menyebut-nyebut atau mengungkit-ungkit pemberian itu dengan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang yang menerima.
- Mereka tidak melakukan perkara yang boleh menyakiti penerima dan tidak meminta balasan atas sedekahnya itu.
Orang-orang yang bersedekah dengan memenuhi syarat di atas, mereka akan mendapat pahala yang sempurna. Mereka tidak khuatir untuk bertemu dengan Allah Ta’ala dan tidak bersedih hati terhadap anak-anak yang ditinggalkan apabila meninggal dunia. Manakala orang-orang yang kedekut dan tidak mahu menginfakkan sebahagian daripada harta mereka pada jalan-Nya, mereka pasti akan menyesal. Firman Allah Ta’ala:
“Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami rezekikan kepada kamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata, ‘Wahai Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?’”
Al-Munafiqun 63:10
Ayat 263
قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَآ أَذًى ۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌ
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
Sekiranya seseorang tidak dapat memberi sedekah atas sebab-sebab tertentu, maka cukuplah baginya menolaknya dengan cara yang sopan dan ucapan yang baik kepada peminta sedekah. Maafkanlah mereka dan tutupilah sikap kurang baik mereka sekiranya mereka bersikap agak memaksa atau berkasar.
Allah Ta’ala mensyariatkan bersedekah sebagai jalan untuk menciptakan hubungan kasih sayang, memperkuatkan jalinan antara sesama manusia, memperkuatkan rasa simpati dan saling bantu membantu. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan sedekah daripada hamba-hamba-Nya. Dia Maha Berkuasa untuk memberi rezeki kepada semua makhluk-Nya dan Maha Penyantun dengan tidak menyegerakan hukuman kepada orang-orang yang melakukan kejahatan dan berakhlak buruk.
Ayat 264
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa pahala sedekah boleh terhapus sekiranya pemberi sedekah mengungkit-ungkit pemberiannya atau menyakiti hati penerima sedekah. Ini samalah seperti terhapusnya pahala sedekah kerana riya’ iaitu menunjuk-nunjuk kepada manusia bagi mendapatkan pujian. Ayat ini juga menyatakan bahawa sikap mengungkit-ungkit pemberian atau kebaikan dan riya’ adalah termasuk sifat orang-orang yang kufur dan bukan sifat orang-orang mukmin.
Kemudian Allah Ta’ala membuat perumpamaan bagi orang-orang yang bersedekah disertai dengan riya’ atau mengiringi sedekah itu dengan mengungkit-ungkit atau menyakiti perasaan penerima sedekah adalah seperti tanah yang melekat pada batu yang licin. Lalu hujan lebat itu membersihkan tanah di atas batu tersebut sehingga tiada lagi yang melekat padanya. Ini bermaksud amal yang dilakukan oleh penderma itu adalah sia-sia, tidak memberi kebaikan kepadanya sama sekali baik di dunia mahupun di akhirat.
Antara hadis yang melarang mengungkit-ngungkit pemberian sedekah adalah daripada Abu Zarr ra dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Ada tiga golongan, yang pada hari kiamat kelak, Allah tidak mengajak mereka berbicara, tidak melihat mereka dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka adalah azab yang pedih. Mereka itu ialah orang-orang yang suka menyebut-nyebut sedekah yang telah diberikan, orang-orang lelaki yang melabuhkan kainnya (di bawah buku lali kaki) dan orang-orang yang menjual barang dagangan mereka dengan sumpah palsu (agar laris).”
(HR. Muslim)
Akhirnya, mereka tidak memperoleh sesuatu manfaat pun di dunia daripada usaha-usaha mereka dan tidak pula mendapatkan pahala di akhirat. Allah Ta’ala juga tidak memberi petunjuk dalam amal perbuatan mereka selagi mereka masih kufur.