Kisah Nabi Uzair as Dimatikan Selama 100 Tahun
Surah 2: Al-Baqarah (259)
Ayat 259
أَوْ كَٱلَّذِى مَرَّ عَلَىٰ قَرْيَةٍ وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحْىِۦ هَـٰذِهِ ٱللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ فَأَمَاتَهُ ٱللَّهُ مِا۟ئَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُۥ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِا۟ئَةَ عَامٍ فَٱنظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ ءَايَةً لِّلنَّاسِ ۖ وَٱنظُرْ إِلَى ٱلْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging”. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Allah Swt menyebutkan tentang orang yang bertanya tentang sebuah negeri yang semua bangunan di dalamnya telah musnah dan tidak berpenghuni.
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Najiyyah bin Ka’ab daripada ‘Ali bin Abi Talib ra, dia berkata bahawa orang yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Uzair as. Ibnu Jarir dan Ibnu Abu Hatim meriwayatkan hal yang sama daripada Ibnu ‘Abbas, Al-Hasan, Qatadah, As-Suddi, dan Sulaiman bin Buraidah.
Nabi Uzair as memikirkan bagaimana sebuah negeri yang dahulunya terdapat bangunan-bangunan yang megah berdiri boleh hancur musnah, lalu keluar ucapannya, “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”
Lalu Allah Swt mematikan Nabi Uzair as selama 100 tahun. Mujahid mengatakan negeri tersebut kembali ramai dengan penduduknya selepas 70 tahun berlalu dari kematian Nabi Uzair as. Tatkala Allah Swt menghidupkan Nabi Uzair as semula, ditanyakan kepadanya berapa lama dia tinggal di negeri itu.
Nabi Uzair as menjawab bahawa dia berada di situ selama sehari atau setengah hari sahaja. Lalu Allah Ta’ala menyatakan bahawa dia di situ selama seratus tahun. Kemudian Dia meminta Nabi Uzair as melihat makanan dan minumannya yang tidak berubah rasa dan warnanya walaupun dalam tempoh yang tersangat lama.
Kemudian Allah Ta’ala memintanya melihat keldainya yang sudah bertahun-tahun mati dan yang tinggal hanya tulang belulangnya sahaja. Lalu Dia menghidupkan kembali keldai tersebut. Tulang belulang itu tersusun kembali dan kemudian dibalut dengan daging dan ditiupkan roh padanya.
Setelah Nabi Uzair as melihat kejadian yang berlaku di hadapannya, dia pun meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan tidaklah sukar bagi Nya melakukan semuanya itu. Firman-Nya:
“…………..sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).’”
Al-A’raf 7:29
“……………sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.”
Al-Anbiya’ 21:104