Surah 2: Al-Baqarah (257) 

Allah Swt adalah Pelindung bagi Orang Beriman sedangkan Taghut adalah Pelindung bagi Orang Kafir

Surah 2: Al-Baqarah (257) 


Ayat 257

ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَوْلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan memberi hidayah kepada orang-orang yang mencari keredhaanNya. Dia mengeluarkan hamba-hamba-Nya yang beriman daripada kegelapan kekufuran, kebimbangan dan keraguan menuju kepada cahaya kebenaran yang sangat jelas.  

Manakala orang-orang kafir pula sembahan mereka yang batil itu membawa mereka kepada kesesatan. Syaitan menghiasi kebodohan dan kesesatan itu sehingga kelihatan indah pada pandangan mereka. Syaitan mengeluarkan mereka dari jalan kebenaran menuju kepada kekufuran dan kebohongan.  

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyebutkan kalimah ٱلنُّورِ (cahaya) dalam bentuk mufrad (tunggal), dan menyebutkan perkataan ٱلظُّلُمَٰتِ (kegelapan-kegelapan) dalam bentuk jamak (banyak). Ini mengisyaratkan bahawa kebenaran itu hanya satu, iaitu berada di atas jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Manakala kekufuran dan kebatilan itu banyak, berpecah-pecah serta bercabang-cabang. Firman Allah: 

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” 

Al-An’am 6:153  

Orang-orang yang tetap memilih untuk berada dalam kegelapan kekafiran ini akan menjadi penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.