Surah 2: Al-Baqarah (256) 

Tiada Paksaan untuk Masuk Islam

Surah 2: Al-Baqarah (256) 


Ayat 256

لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Agama Islam telah jelas terbukti kebenarannya. Oleh itu, tidak perlu memaksa orang lain untuk menganutinya. Ini kerana keimanan adalah berdasarkan kesedaran dan kerelaan hati menerima hujjah-hujjah dan bukti. Maka tiada gunanya paksaan. Firman Allah Ta’ala:  

“……………Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” 

Yunus 10:99 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa telah jelas jalan kebenaran dan jalan kebatilan. Oleh itu, semua orang memiliki kebebasan untuk beriman ataupun kafir. Sesiapa yang memilih untuk beriman kepada agama-Nya maka dia telah berada atas jalan yang benar. Allah Ta’ala akan memberikannya petunjuk, melapangkan dadanya dan memberikan cahaya bagi hatinya sehingga dia memeluk Islam.  

Sebaliknya sesiapa yang menolak agama Islam, maka akan dibutakan oleh Allah Ta’ala dan dikunci mati hatinya, maka paksaan dan tekanan untuk menerima Islam tidak akan memberi manfaat kepadanya sedikitpun.  

Ayat ini merupakan dalil yang paling jelas dan kuat menyangkal sangkaan bahawa Islam disebarkan dengan pedang dan kekerasan. Kaum muslimin tidak berperang kecuali untuk melawan ancaman musuh dan membela diri. Allah Maha Mendengar ucapan hamba-hamba-Nya dan Maha Melihat perbuatan dan niat mereka. Dia akan memberikan balasan kepada mereka sesuai dengan amal perbuatan itu.