Surah 2: Al-Baqarah (253) 

Allah Melebihkan Sebahagian Rasul atas Sebahagian yang Lain

Surah 2: Al-Baqarah (253) 


Ayat 253

تِلْكَ ٱلرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۘ مِّنْهُم مَّن كَلَّمَ ٱللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَـٰتٍ ۚ وَءَاتَيْنَا عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدْنَـٰهُ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ ۗ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقْتَتَلَ ٱلَّذِينَ مِنۢ بَعْدِهِم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ وَلَـٰكِنِ ٱخْتَلَفُوا۟ فَمِنْهُم مَّنْ ءَامَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقْتَتَلُوا۟ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ

Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa semua para rasul adalah mulia. Namun Dia telah melebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain sesuai dengan anugerah yang Dia limpahkan kepada mereka. FirmanNya dalam surah yang lain:  

“Dan Rabbmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan sebahagian nabi-nabi atas sebahagian (yang lain) dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Daud.” 

Al-Isra’ 17:55  

Antara nabi-nabi yang Allah Ta’ala lebihkan atas sebahagian yang lain ialah Nabi Musa as diajak berbicara secara langsung dengan Allah Ta’ala. Oleh itu Baginda dikenali sebagai ‘Kalimullah’, sebagaimana dalam firmanNya: 

“Allah berfirman, ‘Wahai Musa, sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dari manusia yang lain (pada masamu) untuk membawa risalahKu dan untuk berbicara langsung denganKu, maka berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.’” 

Al-A’raf 7:144

Ada juga antara mereka itu Allah Ta’ala angkat ke darjat yang lebih tinggi iaitu Nabi Muhammad saw. Baginda dikurniakan risalah yang disampaikan ke seluruh alam (universal), bahkan pada diri Baginda terdapat peribadi yang mulia, diunggulkan umatnya atas seluruh umat, ditutup pula kenabian dengannya, dan keistimewaan-keistimewaan yang lain. Allah Ta’ala berfirman: 

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” 

Al-Qalam 68:4  

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:  

“Aku dilebihkan atas para nabi yang lain dengan enam perkara; (1) diberikan kepadaku “jawami’ al-kalim (ucapan yang sedikit tetapi mengandungi makna yang banyak), (2) aku diberikan kemenangan (dengan perasaan takut yang dimunculkan dalam hati musuh), (3) dihalalkan bagiku harta rampasan perang, (4) seluruh bumi dijadikan bagiku untuk bersuci dan masjid (tempat solat), (5) aku diutus kepada semua makhluk, dan (6) aku dijadikan sebagai penutup para nabi.”  

(HR Muslim dan At-Tarmizi) 

Nabi ‘Isa as pula diberikan mukjizat yang jelas supaya umatnya dapat membezakan antara yang hak dan yang batil seperti Baginda menghidupkan burung dari tanah liat, menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta dan berpenyakit kusta. Perkara tersebut adalah untuk membuktikan kenabiannya, bahawa dia adalah hamba Allah dan rasulNya.  

Menurut sebahagian ahli tafsir yang lain, Ruhul Qudus itu ialah Jibril as yang sentiasa memberi pertolongan dan bantuan kepada Nabi ‘Isa as.  

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Dia berkehendak, orang-orang yang datang setelah para rasul itu tidak saling membunuh setelah datangnya bukti-bukti nyata kepada mereka. Akan tetapi, perpecahan telah terjadi di antara mereka. Oleh itu sebahagian daripada mereka ada yang tetap teguh di atas keimanannya dan sebahagian lagi tetap dengan kekufuran mereka. 

Sesungguhnya Allah Ta’ala memberikan taufik kepada orang yang dikehendakiNya untuk taat dan beriman kepadaNya dan mengabaikan orang yang dikehendakiNya, sehingga mereka berbuat maksiat dan kafir kepadaNya. Semuanya adalah dalam ilmuNya.