Surah 2: Al-Baqarah (241 – 242) 

Pemberian untuk Wanita yang Ditalak 

Surah 2: Al-Baqarah (241 – 242) 


Ayat 241

وَلِلْمُطَلَّقَـٰتِ مَتَـٰعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Allah Ta’ala menerangkan hukum mut’ah bagi wanita yang ditalak tetapi belum digauli. Mut’ah adalah pemberian sagu hati oleh suami kepada isteri yang diceraikannya sesuai dengan kemampuannya. Ini adalah kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa, takut kepadaNya dan gentar terhadap hukumanNya.  

Namun ulama berbeza pendapat tentang ayat ini dalam pemberian mut’ah, ada yang mengatakan mut’ah diberikan kepada wanita yang belum digauli sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum berpandukan dalil firman Allah Ta’ala:  

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka tidak ada masa iddah atas mereka yang perlu kamu perhitungkan. Namun berilah mereka mut’ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” 

Al-Ahzab 33:49 

Ada juga ulama mengatakan bahawa wanita yang ditalak dan sudah ditentukan maharnya tetapi belum digauli berhak mendapat separuh mahar yang sudah ditentukan. Oleh itu dia tidak berhak memperoleh mut’ah. 

Wanita yang ditalak ada empat keadaan:  

Keadaan Pertama

Wanita yang ditalak dan sudah digauli serta sudah ditentukan maharnya. Dia berhak mendapat seluruh mahar yang ditentukan itu berdasarkan firman-firman Allah: 

“……………….Tidak halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada yang telah kamu berikan kepada mereka……………” 

Al-Baqarah 2:229  

“Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun…………..” 

An-Nisa’ 4:20 

  • Maka iddahnya adalah tiga kali quru’

Keadaan Kedua

Wanita yang ditalak sebelum digauli dan belum ditentukan maharnya. Wajib diberikan mut’ah kepadanya mengikut kemampuan suami dan tidak mendapat mahar bersandarkan pada firman Allah Ta’ala:  

“Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut…………” 

Al-Baqarah 2:236 

  • Wanita ini tidak ada tempoh iddah baginya

Keadaan Ketiga

Wanita yang ditalak yang sudah ditentukan maharnya tetapi belum pernah digauli. Dia mendapat separuh mahar yang ditentukan itu, berdalilkan firman Allah:  

“Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu…………” 

Al-Baqarah 2:237  

  • Wanita ini juga tidak ada tempoh iddah baginya

Keadaan Keempat

Wanita yang telah ditalak dan telah digauli tetapi belum ditentukan maharnya, dia mendapat mahar mitsil (sejumlah mahar yang sama nilainya dengan mahar yang diterima oleh kerabat perempuannya) berdasarkan firman Allah:  

“……………Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…………..” 

Al- Baqarah 2:24  

  • Maka iddahnya adalah tiga kali quru’
Ayat 242

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.

Allah Ta’ala menerangkan hukum-hukumNya dengan terang agar hamba-hambaNya dapat melaksanakan perintahNya dengan cara yang betul. Semua ketetapanNya adalah adil dan sesuai untuk semua.