Surah 2: Al-Baqarah (238 – 239) 

Kewajipan Menjaga Solat 

Surah 2: Al-Baqarah (238 – 239) 


Ayat 238

حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِينَ

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar menjaga kesemua solat pada waktu yang telah ditetapkan dengan memenuhi syarat, rukun, khusyuk dan perkara yang wajib ataupun sunnahnya. Rasulullah saw bersabda:  

“Barangsiapa menjaga solat, nescaya ia menjadi cahaya, bukti dan keselamatan baginya pada hari kiamat, dan barangsiapa tidak menjaganya nescaya ia tidak akan menjadi cahaya, bukti dan keselamatan baginya pada hari kiamat, dan pada hari kiamat dia akan berada (di neraka) bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubaiy bin Khalaf.” 

(HR. Ahmad)

Menjaga solat dapat membantu menjaga ibadah yang lain serta dapat mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, lebih-lebih lagi apabila seseorang mengerjakannya dengan sempurna. Daripada Ibnu Mas’ud ra, dia berkata:  

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah: ‘Amal apakah yang paling utama?’ Baginda menjawab: ‘Solat pada waktunya.’ Lalu aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.’ ‘Kemudian apa lagi?’ tanyaku lebih lanjut. Baginda menjawab: ‘Berbuat baik kepada ibu bapa.’” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa solat wusta ialah solat Asar dan Abu Muhammad bin ‘Athiyyah mengatakan ini adalah pendapat jumhur ulama. Antara hadis yang menguatkan pendapat ini ialah daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:  

“Solat wusta adalah solat Asar.” 

(HR. At-Tirmizi) 

Maksud ayat, “dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.” ialah melakukan solat dengan tenang, penuh khusyuk dan merendah diri kerana ketika itu seseorang sedang berada di hadapan Allah Ta’ala. Oleh itu, wajib seseorang itu meninggalkan semua bentuk perkataan yang boleh membatalkan solat. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya di dalam solat ini, tidak dibolehkan sedikit pun daripada pembicaraan manusia. Sesungguhnya solat adalah tasbih, takbir dan berzikir kepada Allah.” 

(HR. Muslim) 

Ayat 239

فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا ۖ فَإِذَآ أَمِنتُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ketika Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa memelihara solat dan memberikan penekanan terhadapnya, Dia juga menjelaskan tentang solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut seperti dalam peperangan atau pertempuran yang sengit.  

Allah Ta’ala memberi keringanan kepada mereka yang berada dalam keadaan tidak dapat mengerjakan solat secara sempurna, maka dibolehkan solat semampunya dalam apa pun bentuknya, walaupun dengan isyarat, sambil berjalan atau berkenderaan sama ada menghadap ke arah kiblat atau pun tidak. 

Dalam ayat ini, terdapat dalil wajib melaksanakan solat tepat pada waktunya walaupun sebahagian syarat dan rukun solat tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. Ini bermaksud solat mesti ditunaikan dalam waktunya dan tidak boleh menundanya sehingga luput atau tamat waktunya. Namun, jika masih belum berpeluang melaksanakannya disebabkan keadaan yang menghalang, maka diberi keringanan untuk mengakhirkannya sehingga keadaan menjadi aman.  

Ayat ini juga menunjukkan bahawa solat itu wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Solat merupakan salah satu rukun Islam, maka tidak ada alasan untuk meninggalkan solat bahkan dalam keadaan jiwa terancam seperti dalam peperangan yang sangat sengit masih diwajibkan solat namun diberikan rukhsah (keringanan). Rasulullah saw bersabda: 

“Allah mewajibkan solat melalui lisan Nabi kalian saw pada waktu mukim empat rakaat, pada waktu safar (musafir) dua rakaat dan pada waktu genting (takut) satu rakaat.” 

(HR. Muslim)  

Solat merupakan kewajipan bagi setiap muslim yang mukallaf, tidak boleh diwakilkan kepada orang lain dan tidak boleh mengupah orang untuk mengerjakannya. Solat ini mengingatkan manusia tentang kekuasaan Allah Ta’ala atas segala sesuatu kerana Dialah yang menjadi tujuan hidup ini dan kepada-Nya semua akan kembali.  

Allah Ta’ala telah mengajarkan tata cara beribadah dan hukum-hukum kepada hamba-hamba-Nya yang sebelumnya tidak mereka ketahui. Perkara ini merupakan nikmat besar yang semestinya diiringi dengan zikrullah dan bersyukur agar nikmat itu tidak hilang tetapi bertambah.