Hukum Isteri yang Diceraikan sebelum Digauli
Surah 2: Al-Baqarah (236 – 237)
Ayat 236
لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا۟ لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى ٱلْمُوسِعِ قَدَرُهُۥ وَعَلَى ٱلْمُقْتِرِ قَدَرُهُۥ مَتَـٰعًۢا بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ
Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
Suami dibolehkan menceraikan isterinya sebelum isteri tersebut dicampuri dan ditentukan mas kahwinnya (mahar). Meskipun hal ini dapat melukakan hati isterinya. Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan suami agar memberi mut’ah (pemberian) kepada isteri yang diceraikan bagi mengubati hati wanita tersebut dan menghilangkan rasa benci kepada bekas suaminya. Nilai pemberian itu bergantung kepada kemampuan bekas suaminya.
Ini adalah hak yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala yang menjadi kewajipan orang-orang yang ingin membuat kebaikan kepada isteri-isteri yang diceraikan dan kepada dirinya sendiri atas dasar ketakwaan kepada-Nya.
Ayat 237
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّآ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَا۟ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ عُقْدَةُ ٱلنِّكَاحِ ۚ وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa wanita yang ditalak sebelum digauli tetapi sudah ditentukan mas kahwin (mahar) untuknya berhak mendapat separuh daripada mahar tersebut kecuali dia atau walinya memaafkan.
Mujahid, Ibrahim An-Nakha’i, Adh-Dhahhak, Muqatil bin Hayyan, Rabi’ bin Anas, dan Ath-Thauri mengatakan maksud keutamaan (ٱلْفَضْلَ) dalam ayat ini ialah yang utama dalam hal ini, wanita yang diceraikan itu menghalalkan separuh dari mas kahwinnya. Manakala bagi suami pula, yang utama baginya ialah menghalalkan keseluruhan mas kahwin yang telah ditentukan semasa akad nikah.
Saling berbuat baik dan bermurah hati sesama mereka dan bermaaf-maafan itu lebih baik dan lebih dekat kepada rasa takut kepada Allah Ta’ala dan ketaatan kepada-Nya. Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Dia mencintai orang-orang yang berbuat baik. Oleh itu, Dia mendorong dan menyeru hamba-hamba-Nya untuk melakukan perkara yang baik.