Pinangan secara Sindiran kepada Wanita yang Kematian Suami
Surah 2: Al-Baqarah (235)
Ayat 235
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِۦ مِنْ خِطْبَةِ ٱلنِّسَآءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَـٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّآ أَن تَقُولُوا۟ قَوْلًا مَّعْرُوفًا ۚ وَلَا تَعْزِمُوا۟ عُقْدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْكِتَـٰبُ أَجَلَهُۥ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ فَٱحْذَرُوهُ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada dosa atas seorang lelaki jika dia menyampaikan lamaran secara sindiran kepada wanita yang kematian suami atau kepada walinya. Perkataan sindiran yang digunakan hendaklah yang tidak mungkar menurut syar’iat iaitu ucapan yang sopan, bahasa sindiran yang halus dan lembut yang tidak merosakkan bahasa yang tersirat.
Begitu juga dibolehkan lamaran secara sindiran ini dilakukan terhadap wanita yang dikenakan talak ba’in (talak yang tidak boleh dirujuk kembali oleh suami yang menceraikannya, contohnya setelah talak tiga kali) semasa dalam tempoh iddahnya. Kata-kata sindiran itu adalah seperti “Aku menyukai wanita begini dan begini,” atau ”Mudah-mudahan Allah memberiku isteri yang solehah sepertimu,” dan sebagainya.
Namun Allah Ta’ala melarang keras melangsungkan akad nikah dengan wanita yang kematian suami sebelum habis masa iddahnya.
Kemudian Allah Ta’ala menutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati dan tidak tersembunyi sesuatu apa pun daripada pengetahuan-Nya terhadap perbuatan dan tindakan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, berhati-hatilah agar tidak mengingkari perintah dan larangan-Nya. Dia Maha Pengampun terhadap hamba-hamba-Nya yang bertaubat setelah berbuat dosa dan Maha Penyantun terhadap mereka dengan tidak tergesa-gesa menyeksa mereka.