Hukum Iddah bagi Wanita Kematian Suami
Surah 2: Al-Baqarah (234)
Ayat 234
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
Dalam ayat ini terdapat perintah kepada para isteri yang kematian suami untuk berihdad atau berkabung (menghabiskan tempoh iddah) iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Menurut ijmak ulama hukum ini berlaku baik kepada wanita yang telah dicampuri mahupun kepada yang belum dicampuri. Rasulullah saw bersabda:
“Tidak halal (tidak dibolehkan) bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung (ihdad) atas seseorang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali untuk kematian suaminya, (maka masa berkabungnya adalah) empat bulan ditambah sepuluh hari.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Iddah ialah berkabung dengan meninggalkan berhias dan memakai wangi-wangian, tidak memakai perhiasan, tidak memakai pakaian berwarna dan sebagainya.
Bagi wanita hamil yang kematian suami, tamat tempoh iddahnya ialah setelah dia melahirkan bayinya. Firman Allah Ta’ala:
“………………Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sehingga mereka melahirkan kandungannya………….”
At-Talaq 65:4
Wanita yang kematian suami tetapi tidak hamil pula sebelum tamat tempoh iddahnya, dia tidak boleh dilamar atau dinikahi serta tidak boleh keluar rumah kecuali jika terdapat darurat yang memerlukan dia keluar rumah seperti mencari nafkah.
Wanita dalam iddah tidak boleh keluar dari rumah yang dia tinggal bersama suaminya dahulu. Mereka juga dilarang memakai wangian, bersolek dan bernikah. Namun apabila telah tamat tempoh iddahnya, maka tidak ada dosa bagi para wali sekiranya wanita itu keluar rumah, mencari calon suami dan bernikah.
Allah Maha Mengetahui perbuatan-perbuatan hamba-hamba-Nya sama ada zahir mahupun tersembunyi dan akan memberikan balasan yang setimpal dengan amal perbuatan mereka.