Surah 2: Al-Baqarah (233) 

Hukum tentang Penyusuan dan Nafkah kepada Isteri setelah Ditalak

Surah 2: Al-Baqarah (233) 


Ayat 233

وَٱلْوَٰلِدَٰتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَـٰدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَآرَّ وَٰلِدَةٌۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُۥ بِوَلَدِهِۦ ۚ وَعَلَى ٱلْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّآ ءَاتَيْتُم بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Ayat ini merupakan bimbingan daripada Allah Ta‘ala kepada para ibu agar menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna selama dua tahun.  

Adalah menjadi kewajipan suami untuk menjamin keperluan isterinya atau bekas isterinya yang menyusukan anaknya berupa makanan, minuman dan pakaian sesuai mengikut kemampuannya. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Firman-Nya:  

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” 

At-Talaq 65:7 

Tujuan disyariatkan hukum-hukum di atas adalah untuk mencegah penyeksaan kepada kedua-dua pihak iaitu pihak suami dan isteri dengan memberikan hak masing-masing. Mereka dilarang menjadikan anak yang dilahirkan sebagai jalan untuk saling menyusahkan antara mereka berdua.  

Isteri tidak boleh menyusahkan suaminya dengan menolak untuk menyusukan anaknya dengan mencari ibu susuan atau meminta nafkah yang lebih daripada kemampuan suaminya. Suami pula tidak boleh menyusahkan isterinya dengan menghalangnya menyusukan anaknya atau tidak memberi nafkah yang mencukupi.  

Mengikut pendapat jumhur ulama maksud ayat, “Ahli waris pun berkewajipan demikian” ialah ahli waris bapa mempunyai kewajipan yang sama dengannya iaitu wajib memberi nafkah kepada ibu si anak itu jika bapanya meninggal dunia. Ini bererti ahli warisnya wajib menggantikan tugasnya dalam memenuhi seluruh hak-hak mereka dengan cara yang baik dan juga tidak memberi kesengsaraan kepada mereka. 

Jika kedua ibu bapa telah bermesyuarat dan mendapat kata sepakat untuk menceraikan susu sebelum bayi mereka berumur dua tahun dengan sebab-sebab tertentu, maka tidak ada dosa bagi kedua-duanya.  

Ayat ini juga menjelaskan bahawa boleh mengambil upah untuk menyusukan bayi selain ibu kandungnya. Firman Allah Ta’ala:  

“……………….kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.” 

At-Talaq 65:6 

Allah Ta’ala berpesan kepada kedua ibu bapa agar bertakwa dan berhati-hati jangan sampai melanggar perintah dan melakukan laranganNya. Dia Maha Melihat apa yang mereka kerjakan, Maha Agung dan Maha Pengasih.