Surah 2: Al-Baqarah (224 – 225) 

Larangan Bersumpah untuk Tidak Buat Kebaikan  

Surah 2: Al-Baqarah (224 – 225) 


Ayat 224

وَلَا تَجْعَلُوا۟ ٱللَّهَ عُرْضَةً لِّأَيْمَـٰنِكُمْ أَن تَبَرُّوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَتُصْلِحُوا۟ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Allah Swt melarang kaum muslimin bersumpah dengan menggunakan nama-Nya untuk melakukan perkara yang tidak baik atau pun meninggalkan amal soleh, seperti menyebut, “Demi Allah, saya tidak akan membantu anak yatim,” tetapi apabila sumpah itu telah diucapkan, maka lebih baik keluar daripada sumpahnya kerana itu lebih berdosa apabila terus melaksanakan sumpahnya. Oleh yang demikian, untuk keluar daripada sumpah, seseorang yang bersumpah dikenakan membayar kafarah atau denda. Rasulullah saw bersabda:  

“Apabila engkau bersumpah sesuatu kemudian engkau melihat ada perkara yang lebih baik, kerjakanlah apa yang lebih baik itu dan tebuslah sumpahmu.” 

(HR. Muslim)

Allah menerangkan tentang kafarah dalam firman-Nya: 

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengajakan, maka kafarah (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kafarahnya ialah berpuasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kafarah sumpah-sumpahmu apabila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).” 

Al-Ma’idah 5:89 

Ayat 225

لَّا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Dalam ayat ini, maksud, “Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah),” ialah Allah Ta’ala tidak akan menghukum dan tidak juga mewajibkan mereka untuk membayar kafarah setelah apa yang mereka ucapkan, sedangkan mereka tidak bermaksud mengucapkannya. Ini kerana sumpah itu keluar daripada mulut mereka tanpa niat dan kesungguhan atau perkataan itu sudah menjadi kebiasaan, sebagaimana telah ditegaskan dalam hadis, daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda:  

“Barangsiapa bersumpah dengan menyebutkan nama Latta dan ‘Uzza, maka hendaklah dia mengucapkan: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (tidak ada Ilah yang berhak untuk diibadahi dengan benar kecuali Allah).”  

 (HR. Muslim) 

Hal ini disampaikan oleh Rasulullah saw kepada suatu kaum jahiliah yang baru sahaja memeluk Islam namun lidah mereka sudah terbiasa menyebutkan nama Latta dan ‘Uzza tanpa sengaja. Kemudian mereka diperintahkan untuk mengucapkan kalimah ikhlas iaitu لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, sehingga kata-kata sumpah mereka dengan berhala tersebut gugur. 

Dalam ayat ini terdapat dalil perlu mempunyai qasad (niat) dalam hati ketika mengucapkan kalimah tersebut. Kemudian, sebagaimana ada niat dalam hati, mesti zahir dalam perbuatan, namun Allah Swt bersifat Maha Pengampun dan Maha Penyantun tidak akan segera menyeksa orang-orang yang berbuat dosa.