Hukum tentang Haid
Surah 2: Al-Baqarah (222 – 223)
Ayat 222
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas, bahawa orang-orang Yahudi tidak makan dan tidak bergaul dengan isteri masing-masing ketika isteri mereka haid. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw tentang perkara itu, maka Allah menurunkan ayat ini, lalu Baginda bersabda, “Lakukan apa sahaja kecuali hubungan badan.”
Haid adalah sesuatu yang kotor, jijik dan memudharatkan orang yang mencampuri isteri ketika sedang haid. Oleh itu, Allah Ta’ala melarang mencampuri isteri sehingga haid itu berhenti. Namun dibolehkan bersenang-senang dengan isteri pada waktu haid. Apabila haid telah berhenti dan isteri telah bersuci (mandi janabah), maka dibolehkan bercampur pada tempat yang telah dihalalkan oleh-Nya.
Sesungguhnya Allah Ta’ala menyukai hamba-hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta menyucikan diri daripada perbuatan keji dan kotor seperti mencampuri isteri ketika sedang haid.
Ayat 223
نِسَآؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا۟ حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُم مُّلَـٰقُوهُ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan ketika ayat, “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu,” beberapa orang sahabat Ansar bertanya kepada Rasulullah saw tentang hal ini. Baginda bersabda:
“Datangilah mereka cara bagaimana pun selama masih pada kemaluan.”
(HR. Ahmad)
Para isteri adalah tempat suami mereka menyemai benih. Sperma mengalir ke dalam rahim isteri lalu lahirlah zuriat dengan kehendak Allah Ta’ala.
Dalam ayat ini, terdapat dalil haramnya jimak isteri melalui dubur. Allah Ta’ala hanya membenarkan mereka mendatangi wanita dengan apa sahaja cara asalkan pada tempat yang telah diperintahkan-Nya serta suci daripada haid dan nifas.
Allah Ta’ala mengingatkan hamba-hamba-Nya agar memperbanyakkan bekalan amal soleh dengan memerhatikan perintah-perintah-Nya serta bertakwa kepada-Nya. Kelak di akhirat mereka akan bertemu dengan-Nya untuk perhitungan amal dan pembalasan.