Surah 2: Al-Baqarah (220) 

Perintah Mengurus Anak-anak Yatim dengan Baik 

Surah 2: Al-Baqarah (220) 


Ayat 220

فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ ۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ ٱلْمُفْسِدَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala menyuruh berbuat baik kepada anak-anak yatim kerana itu lebih baik iaitu menguruskan harta anak-anak yatim supaya dapat dikembangkan. Sekiranya penjaga bergaul dengan mereka dan bercampur makan minum, berkongsi tempat tinggal dengan anak-anak yatim, itulah yang sebaik-baiknya kerana mereka adalah saudara seagama.  

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra dia menceritakan ketika turun ayat, “Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik……………..” (Al-An’am 6:152) dan ayat, “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim…………..” (An-Nisa’ 4:10), para sahabat yang mengurus anak yatim berada dalam keadaan yang sangat sukar. Mereka terpaksa mengasingkan harta mereka daripada harta anak yatim. Mereka juga terpaksa mengasingkan makanan dan minuman mereka daripada makanan dan minuman anak-anak yatim di bawah jagaan mereka kerana bimbang termakan harta anak-anak yatim. Hal ini menyebabkan berlaku pembaziran kerana makanan yang disimpan menjadi basi apabila anak-anak yatim tidak makan makanan yang dimasak untuk mereka. 

Oleh itu, para sahabat mengadu kepada Rasulullah saw tentang perkara ini, lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat, “Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama);” Selepas turun ayat ini para sahabat pun menggabungkan makanan dan minuman mereka dengan makanan dan minuman anak-anak yatim.  

Ayat ini juga merupakan keizinan untuk mencampurkan harta mereka sekiranya disertai dengan niat yang benar, bukannya mempunyai niat untuk mencari keuntungan sendiri dan merugikan anak yatim dengan percampuran itu. Percampuran harta itu tidak boleh dijadikan asbab untuk mereka makan harta anak yatim tanpa hak. Allah Maha Mengetahui siapa yang berbuat baik dan berbuat jahat. Dia juga Maha Mengetahui apa yang disembunyikan dalam hati. 

Sekiranya Allah Ta’ala menghendaki, Dia benar-benar akan menyusahkan mereka yang mengurus keperluan anak yatim dengan mengharamkan hidup bercampur dengan anak yatim. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya, Maha Bijaksana dalam penciptaan, pengaturan dan penetapan hukum syariat-Nya. Firman-Nya:  

“…………Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu……….” 

Al-Baqarah 2:185