Surah 2: Al-Baqarah (219)

Hukum Minum Arak dan Berjudi serta Perintah Berinfak 

Surah 2: Al-Baqarah (219) 


Ayat 219

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir:

Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini. Antaranya ialah Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, Baginda mendapati para sahabat ada yang meminum arak dan bermain judi kerana hal ini sudah menjadi tradisi mereka sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Lalu mereka bertanya kepada Baginda tentang hukum kedua-duanya, lalu turunlah ayat ini.  

Mereka memahami daripada ayat di atas bahawa Rasulullah saw tidak mengharamkan atas mereka cuma mengatakan kedua-duanya adalah dosa besar. Maka mereka masih meneruskan tradisi meminum arak.  

Pada suatu hari ada seorang muhajirin yang mengimami orang-orang dalam solat Maghrib, bacaannya banyak yang salah disebabkan waktu itu dia sedang mabuk sesudah minum arak. Lalu Allah menurunkan ayat 43 dalam surah An-Nisa’: 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedangkan kamu dalam keadaan mabuk,……………………” 

An-Nisa’ 4:43 

Setelah itu, turun pula ayat lain yang lebih tegas iaitu ayat 90-91 Surah Al-Ma’idah:  

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (minum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (minum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu (daripada mengerjakan pekerjaan itu).” 

Al-Ma’idah 5:90-91 

Selepas turunnya ayat 90-91 Surah Al-Ma’idah ini, mereka pun berkata, “Kami telah berhenti mengerjakan perbuatan-perbuatan itu wahai Rabb kami.” 

Dalam riwayat ini dan juga riwayat yang lain didapati pengharaman arak berlaku dalam beberapa peringkat iaitu memindahkan hukum yang ringan kepada hukum yang berat secara beransur-ansur. Ini merupakan kaedah pendidikan yang berkesan kerana tidak terasa berat untuk mereka terus meninggalkan amalan tersebut. 

Seseorang akan dapat merasakan kenikmatan dan kesenangan apabila meminum arak, manakala dalam judi seseorang itu akan memperoleh harta tanpa bekerja keras. Oleh itu Allah Ta’ala memerintahkan nabi-Nya menerangkan manfaat dan juga mudharat arak dan judi sebagai keterangan terhadap larangan yang akan dikenakan dan agar mereka bersedia untuk meninggalkannya.  

Bahaya akibat daripada kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. Ini kerana arak akan menyebabkan seseorang hilang akal dan judi menyebabkan kehilangan harta. Arak dan judi juga akan menghalang manusia daripada zikrullah, solat, dan menimbulkan permusuhan serta kebencian. 

Oleh itu kesimpulannya, ayat ini merupakan tahap pertama larangan minum arak. Larangan minum arak yang dinyatakan dalam ayat ini masih belum tegas, sehingga ketika itu masih ada yang meminumnya, sementara sebahagian lagi tidak meminumnya, sehinggalah turun ayat dalam Surah Al-Ma’idah yang dengan tegas melarangnya. Inilah penetapan hukum (tasyri’) dalam Islam, iaitu adanya larangan secara berunsur-ansur (tadarruj) agar masyarakat dapat melaksanakannya.  

Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan tentang ukuran bersedekah iaitu hendaklah mereka bersedekah harta yang lebih daripada keperluan dan bukannya bersedekah dengan apa yang mereka perlukan. Ini adalah agar mereka terhindar daripada hidup dalam keadaan melarat dan meminta-minta.   

Daripada Jabir, Rasulullah saw bersabda kepada seorang lelaki: 

“Mulailah dengan dirimu dan berinfaklah atasnya, bila ada lebihan daripada keperluanmu maka berikanlah kepada isterimu, dan jika ada lebihan daripada keperluan isterimu maka berikanlah kepada kerabatmu, bila masih ada lebihan daripada harta yang engkau berikan kepada kerabatmu maka demikian dan demikian.” 

(HR. Muslim) 

Allah Ta’ala menjelaskan tentang hukum-hukum, janji dan ancaman-Nya supaya manusia berfikir.