Surah 2: Al-Baqarah (216 – 218)

Perintah untuk Berperang dengan Orang Kafir 

Surah 2: Al-Baqarah (216 – 218) 


Ayat 216

كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Dalam ayat ini terdapat penetapan kewajipan berjihad daripada Allah Ta’ala kepada kaum muslimin, agar mereka menghentikan kejahatan orang-orang kafir terhadap mereka. Ini kerana sebelum ini kaum muslimin diperintahkan supaya menahan diri kerana mereka masih lemah dan belum sanggup menerima beban semasa berperang. Apabila Rasulullah ‎saw berhijrah ke Madinah, kaum muslimin bertambah ramai dan kuat, lalu Allah Ta’ala memerintahkan kaum muslimin pergi berperang.  

Allah Ta’ala menyatakan berdasarkan tabiat manusia, berperang adalah sesuatu yang dibenci disebabkan beratnya tugas dan banyaknya ancaman bahaya yang akan dihadapi serta terpaksa mempertaruhkan harta dan jiwa. Namun begitu, terdapat kebaikan apabila berjihad kerana dengannya terdapat kemuliaan, kemenangan dan kejayaaan kepada agama. Di samping itu akan beroleh ghanimah (harta rampasan perang) dan jika syahid akan mendapat pahala yang besar. 

Meninggalkan jihad pula merupakan sesuatu yang disenangi tetapi akan mendatangkan keburukan kepada mereka. Ini kerana ia akan menambah semangat musuh untuk memerangi mereka. Kehormatan mereka akan ternoda, harta mereka dirampas dan kesucian agama tercalar. Tambahan pula mereka akan dibalas dengan ganjaran yang buruk di akhirat kelak. Rasulullah ‎saw bersabda: 

“Barangsiapa meninggal dunia, sedangkan dia tidak pernah ikut berperang dan juga tidak pernah berkeinginan di dalam hatinya untuk berperang, maka dia meninggal dalam keadaan jahiliah.” 

(HR. Muslim) 

Ayat ini juga boleh difahami secara umum iaitu semua perbuatan baik meskipun dibenci kerana tidak selari dengan nafsu manusia sebenarnya terdapat hikmah kebaikan yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala. Begitu juga perkara yang kelihatan baik pada zahirnya dan dicintai oleh nafsu manusia sebenarnya terdapat keburukan yang tidak kita ketahui. 

Ayat 217

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفْرٌۢ بِهِۦ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِۦ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَـٰتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ ٱسْتَطَـٰعُوا۟ ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Jundub bin ‘Abdillah bahawa Rasullulah saw pernah mengutus sebuah pasukan kecil yang dipimpin oleh ‘Abdullah bin Jahsy memerangi kaum musyrik. Lalu pasukan tersebut membunuh ‘Amr bin Al-Hadhramiy. Mereka tidak mengetahui bahawa hari itu telah masuk bulan Rejab kerana menyangka masih dalam bulan Jamadil Akhir. Oleh itu kaum musyrik mencela pasukan muslimin kerana telah menghalalkan berperang pada bulan haram iaitu bulan Rejab. 

Maka turunlah ayat di atas menerangkan bahawa peperangan pada bulan haram itu adalah dosa besar tetapi perbuatan menghalang manusia dari jalan Allah Ta’ala itu lebih besar dosanya. Kufur kepadaNya dan rasulNya, menyeksa orang-orang yang beriman serta berusaha mengeluarkan mereka daripada Islam, mengusir mereka dari kampung halaman sama ada dalam bulan haram ataupun di Tanah Haram itu lebih besar dosanya di sisiNya daripada pembunuhan yang terjadi dalam bulan haram. 

Di samping itu, antara keistimewaan bulan haram adalah dilarang memulai perang. Namun begitu dibolehkan berperang sebagai pembelaan, baik pada bulan haram mahupun di Tanah Haram.  

Maksud “fitnah” dalam ayat ini ialah perbuatan syirik yang dilakukan di Tanah Haram, penganiayaan dan segala perbuatan menindas Islam agar orang-orang beriman jauh dari agama mereka yang haq.  

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala mengingatkan kepada orang-orang beriman agar tidak murtad meskipun apa sahaja seksaan yang diterima. Sesiapa yang murtad dan mati dalam kekufuran, maka segala amal solehnya gugur dan dia akan menjadi penghuni neraka buat selama-lamanya. 

Ayat 218

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, RasulNya dan mengerjakan amal soleh berdasarkan syariatNya serta berhijrah iaitu meninggalkan kampung halaman mereka dan berjihad di jalanNya, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan pahala dan kurniaan yang besar daripadaNya.  

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun terhadap dosa hamba-hambaNya yang mukmin dan Maha Penyayang terhadap mereka dengan rahmatNya yang luas.