Surah 2: Al-Baqarah (215) 

Orang yang Berhak Diberikan Nafkah  

Surah 2: Al-Baqarah (215) 


Ayat 215

يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَآ أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Dalam tafsir Al-Munir, terdapat beberapa riwayat tentang sebab turunnya ayat ini. Antaranya ialah daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata daripada Abu Salih, ayat ini turun berkenaan dengan ‘Amr bin Jamuh. Dia adalah seorang yang sudah tua dan memiliki harta yang banyak. Dia bertanya kepada Rasulullah saw tentang harta apa yang perlu diinfakkan dan kepada siapa diinfakkan. Maka turunlah ayat ini.  

Dalam ayat ini, Allah Swt menerangkan bahawa sedekah kepada ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat adalah lebih afdhal dan ganjarannya lebih besar. Kemudian barulah kepada anak-anak yatim yang miskin, orang-orang miskin dan mereka yang bermusafir yang kehabisan bekalan untuk pulang ke kampung halamannya. Rasulullah saw bersabda:  

“Satu dinar yang engkau berikan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau berikan kepada seorang miskin, satu dinar yang engkau berikan untuk memerdekakan seorang budak, dan satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” 

(HR. Muslim) 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan membalas apa sahaja kebaikan hamba-hamba-Nya dengan pahala yang lebih besar. Sesungguhnya Dia tidak akan pernah menzalimi seseorang, walaupun kebaikan yang dilakukan hanyalah sebesar zarah.