Pertolongan dan Syurga Tidak Akan Diperolehi Kecuali Setelah Diuji
Surah 2: Al-Baqarah (214)
Ayat 214
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Allah Ta’ala mengatakan apakah orang-orang beriman itu menyangka bahawa mereka akan dimasukkan ke syurga, sedangkan belum datang kepada mereka ujian yang serupa dengan ujian yang telah menimpa orang-orang beriman sebelum mereka seperti ujian kemiskinan, menderita pelbagai penyakit, dilanda rasa takut dan dicengkam kegelisahan.
Sebahagian tafsir mengatakan ayat ini turun pada masa perang Khandak (Al-Ahzab) ketika Rasulullah saw dan kaum muslimin mengalami kesusahan, keletihan, keperitan, cuaca yang panas dan dingin serta pelbagai penderitaan. Lalu mereka mengatakan, bilakah akan datang pertolongan Allah Ta’ala lantaran mereka sangat menginginkan pertolongan yang segera daripadaNya.
Pertanyaan mereka itu adalah sebagai satu bentuk permohonan agar Allah Ta’ala menyegerakan pertolongan kepada mereka. Ini kerana mereka berasa kedatangan pertolongan-Nya lambat. Maka Allah Ta’ala memberikan khabar gembira dengan mengatakan sesungguhnya pertolongan-Nya adalah amat dekat dengan mereka.