Orang yang Menentang Kebenaran Berada dalam Kesesatan
Surah 2: Al-Baqarah (213)
Ayat 213
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً وَٰحِدَةً فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ ۚ وَمَا ٱخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلْحَقِّ بِإِذْنِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).
Maksud ayat di atas ialah manusia pada asalnya adalah umat yang satu. Mereka mempunyai satu akidah dan satu tujuan dalam amalan. Kemudian mereka berpaling sehingga tidak wujud lagi kesatuan akidah antara mereka yang membawa kepada perpecahan.
Oleh itu, untuk mengembalikan mereka kepada akidah yang asal dan bersatu dalam kebenaran, Allah Ta’ala dengan rahmat-Nya mengutus nabi-nabi sebagai manusia pilihan untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar. Para nabi dilengkapkan dengan kitab samawi (langit) yang mengandungi kebenaran yang akan memberikan keputusan yang seadil-adilnya atas segala apa yang mereka perselisihkan.
Mereka yang masih menolak kebenaran ini adalah kerana mereka mempunyai sifat dengki dan suka membantah. Sungguh beruntunglah orang-orang yang beriman kerana dengan kehendak Allah Ta’ala mereka telah diberikan petunjuk ke jalan yang benar.