Surah 2: Al-Baqarah (208 – 210) 

Perintah Mentaati Allah dan Peringatan terhadap Sikap MenderhakaiNya

Surah 2: Al-Baqarah (208 – 210) 


Ayat 208

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Allah Ta’ala menyuruh orang-orang beriman agar masuk ke dalam agama Islam secara keseluruhan (syumul) dan jangan hanya beriman kepada sebahagiannya sahaja seperti orang-orang Yahudi. FirmanNya:  

“…………Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?………….” 

Al-Baqarah 2:85  

Orang beriman mestilah menyesuaikan segala tindakan dengan kehendak Islam dan janganlah ada di kalangan mukmin yang mempertuhankan hawa nafsu mereka kerana sikap demikian telah membelakangi Islam dan akan digolongkan sebagai orang yang mengikut seruan syaitan. Firman Allah: 

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” 

Al-Jathiyah 45:23  

Antara sikap orang yang mempertuhankan hawa nafsu ialah dia akan mengikuti dan melakukan ajaran agama itu jika sesuai dengan seleranya, tetapi akan bersikap sebaliknya jika agama itu bertentangan dengan selera nafsunya.  

Mengikuti Islam secara keseluruhan tidak mungkin akan tercapai kecuali dengan menjauhi ajakan syaitan. Oleh sebab itu Allah Ta’ala melarang keras mengikuti  langkah-langkah syaitan. FirmanNya: 

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” 

Fathir 35:6  

Barangsiapa yang merenungi hakikat di atas secara mendalam, nescaya dia pasti akan mengetahui betapa jahatnya syaitan dan betapa buruknya akibat yang bakal menimpa orang yang mengikuti suruhan syaitan. 

Ayat 209

فَإِن زَلَلْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْكُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dalam ayat ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyimpang daripada jalan Allah Ta’ala setelah datang kepada mereka ayat-ayat yang terang dan hujjah-hujjah (dalil) yang jelas kepada mereka.  

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Dia tidak dapat dikalahkan dan tidak dapat dihalangi. Dia mampu menyeksa orang-orang yang melakukan maksiat dengan kekuatanNya dan berdasarkan kebijaksanaanNya. 

Ayat 210

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأْتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِى ظُلَلٍ مِّنَ ٱلْغَمَامِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

Ayat ini menerangkan bahawa tidak ada yang orang-orang ingkar ini tunggu melainkan Allah Ta’ala akan mendatangkan seksaan dalam naungan awan, yang akan didatangkan oleh malaikat dan berlakulah apa yang telah ditentukan. Sesungguhnya kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.  

Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:  

“Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut, dan datanglah Rabbmu; sedang malaikat berbaris-baris. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.” 

Al-Fajr 89:21-23 

Ketetapan Allah Ta’ala yang dijelaskan di atas pasti akan berlaku. Daripada Allah kita datang dan kepadaNya kita semua akan kembali.