Surah 2: Al-Baqarah (200 – 203) 

Perintah Memperbanyakkan Zikir selepas Mengerjakan Haji 

Surah 2: Al-Baqarah (200 – 203) 


Ayat 200

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Mujahid bahawa pada zaman jahiliah, jika mereka selesai mengerjakan haji, mereka akan berhimpun di Jumrah (Mina) lalu menyebut-nyebut tentang kehebatan nenek moyang mereka. Mereka mengungkapkan kata-kata indah dalam syair mereka lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat 200. 

Ayat ini membatalkan adat istiadat jahiliah yang berbangga-bangga dengan kebesaran nenek moyang mereka dan Allah Swt menyuruh supaya mereka berzikir dengan bertakbir dan memuji-Nya. Oleh itu, apabila ibadah haji telah selesai, Allah Ta’ala membimbing orang-orang yang beriman agar memperbanyakkan zikrullah iaitu mengingati dan memuji-Nya malah lebih agung daripada amalan zaman jahiliah. 

Zikir adalah membaca takbir, tasbih, tahmid dan sebagainya. Hari-hari yang telah ditentukan jumlahnya ialah tiga hari setelah hari ‘Idul Adha iaitu hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Keutamaan memperbanyakkan zikir mengingati Allah dalam ucapan adalah sebagai tanda kecintaan kepada Allah. Rasulullah saw bersabda: 

“Hari-hari Tasyrik adalah hari-hari untuk makan, minum dan zikrullah.” 

(HR. Ahmad) 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada segolongan manusia yang menghadkan doa mereka agar Dia memberi kebaikan di dunia sahaja dan menjadikan tujuan utama hidupnya hanya dunia. Mereka tidak mementingkan urusan akhirat. Golongan ini tidak akan mendapat kesenangan di akhirat sebagaimana yang disediakan oleh Allah untuk orang-orang yang bertakwa.  

Ayat 201

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

Allah menyatakan bahawa terdapat satu lagi golongan manusia iaitu orang-orang beriman yang berdoa agar diberikan kebahagiaan merangkumi di dunia dan di akhirat. Ini adalah doa yang pendek tapi padat dan menyeluruh maksudnya. Doa ini juga dibaca ketika melakukan tawaf dan antara Rukun Yamani dan rukun Hajar Aswad. Daripada ‘Abdullah bin As-Saaib, dia berkata: 

“Aku pernah mendengar Rasulullah saw berkata di antara dua rukun: 

رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ 

(Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta selamatkanlah kami daripada azab neraka).” 

(HR. Abu Daud) 

Kebaikan di dunia merangkumi kesihatan yang baik, rezeki yang halal, isteri dan anak-anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat, dapat melakukan amal soleh dan juga kenikmatan-kenikmatan yang lain. Manakala kebaikan di akhirat pula ialah selamat daripada seksa kubur, selamat ketika berada di padang mahsyar, selamat daripada api neraka, memperoleh keredhaan Allah, masuk ke dalam syurga dan dekat dengan Allah Ta’ala.  

Doa ini mencakupi segalanya. Oleh itu, Rasulullah saw sering berdoa dengan doa ini, dan doa inilah yang patut diamalkan oleh setiap muslim. Firman Allah Swt: 

“Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik. Kepada masing-masing (golongan), baik (golongan) ini yang (menginginkan dunia) mahupun golongan itu (yang menginginkan akhirat), Kami berikan bantuan daripada kemurahan Rabbmu. Dan kemurahan Rabbmu tidak dapat dihalang.” 

Al-Isra’ 17:18-20 

Ayat 202

أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

Sesiapa yang menyedari bahawa amal-amalnya akan diperhitungkan, nescaya dia akan sentiasa beramal soleh dan bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah Ta’ala sangat cepat perhitungannya. 

Ayat 203

وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِى يَوْمَيْنِ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ ٱتَّقَىٰ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam hari-hari berbilang. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, yang dimaksudkan dengan ‘hari-hari berbilang’ ( أَيَّامٍ مَّعْدُودَٰتٍ ) ialah hari-hari Tasyrik. Manakala ‘hari-hari yang telah ditentukan’ ( أَيَّامٍ مَّعْلُومَٰتٍ ) pada surah Al-Hajj ayat 28 adalah 10 hari bulan Zulhijjah bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah. Firman Allah Ta’ala:  

“Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan ( أَيَّامٍ مَّعْلُومَٰتٍ ) atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” 

Al-Hajj 22:28

Allah Swt menyuruh hamba-hamba-Nya menyebut dan mengingati Allah dengan bertasbih dan bertakbir pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw mengutus ‘Abdullah bin Huzafah agar berkeliling di Mina untuk mengumumkan:  

“Janganlah kalian berpuasa pada hari-hari ini, kerana ini adalah hari makan, minum dan berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” 

(HR. At-Tabari)  

Sesiapa yang ingin segera meninggalkan Mina sebelum terbenam matahari pada 12 Zulhijjah, maka dia boleh berbuat demikian dan tidak berdosa baginya. Ini adalah keringanan daripada Allah Ta’ala.  

Begitu juga bagi yang ingin menangguhkannya dan masih terus ingin bermalam pada malam ke 13 Zulhijjah dan selanjutnya melontar di jumrah juga boleh berbuat demikian serta tidak berdosa baginya, malah ini lebih afdhal kerana akan memberi peluang untuk memperbanyakkan ibadah di Mina. Rasulullah saw bersabda: 

“Hari-hari bermalam di Mina adalah tiga hari, barangsiapa yang menyegerakannya dalam dua hari maka tidak ada dosa atasnya dan barangsiapa mengakhirkannya sampai tiga hari maka tidak ada dosa atasnya.” 

(HR. Ahmad)  

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengingatkan hamba-hamba-Nya agar bertakwa kepada-Nya dalam segala urusan. Sesungguhnya mereka akan dikumpulkan di hadapan-Nya di akhirat kelak untuk menerima balasan.