Dibolehkan Berniaga pada Musim Haji
Surah 2: Al-Baqarah (198)
Ayat 198
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا۟ فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَآ أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَـٰتٍ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ عِندَ ٱلْمَشْعَرِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَٱذْكُرُوهُ كَمَا هَدَىٰكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلضَّآلِّينَ
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Dahulu ‘Ukaz, Mujannah dan Zulmajaz adalah pasar-pasar pada zaman jahiliah. Ketika Islam datang, kaum muslimin berasa berdosa jika aktiviti perniagaan dilakukan dalam musim haji. Maka mereka bertanya kepada Rasulullah saw tentang hal tersebut lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat, ‘Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji).’”
Oleh itu tidaklah berdosa mencari rezeki dengan cara berniaga pada musim haji jika perniagaan tersebut bukan menjadi tujuan utama ke Tanah Suci. Namun begitu, jika seseorang itu pergi semata-mata untuk menyempurnakan manasik haji dan umrah tanpa memikirkan urusan duniawi adalah lebih sempurna dan lebih afdhal.
Seterusnya mereka diingatkan supaya memperbanyakkan zikir (menyebut nama Allah Ta’ala) semasa wuquf di Arafah dan ketika mabit (bermalam) di Muzdalifah sebagaimana amalan Rasulullah saw. Baginda memperbanyakkan talbiah, takbir, tahlil, tahmid, tasbih dan doa di tempat tersebut.
Dalam ayat ini terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil. Antaranya:
- Wuquf di Arafah termasuk salah satu rukun haji. Bertolak dari Arafah hendaklah setelah wukuf iaitu setelah matahari terbenam.
- Berzikir di Masy’aril Haram iaitu di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah dan bermalam (mabit) serta melakukan solat Maghrib, Isya’ dan Subuh di sana.
- Bermalam di Muzdalifah setelah selesai wuquf di Arafah. Ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh huruf فَ (fa’) yang memberi makna tertib.
- Arafah dan Muzdalifah adalah tempat syiar ibadat haji.
- Muzdalifah termasuk Tanah Haram sebagaimana yang diisyaratkan oleh kata haram pada Masy’aril Haram.
Allah Ta’ala turut memerintahkan hamba-hamba-Nya berzikir sebagaimana yang diajarkan-Nya iaitu dengan cara tadharruk (merendah diri), khauf (rasa takut), khusyuk, ikhlas dan penuh harap. Firman-Nya:
“Dan sebutlah (nama) Rabbmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang lalai.”
Al-A’raf 7:205