Perintah Berinfak di Jalan Allah Swt
Surah 2: Al-Baqarah (195)
Ayat 195
وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Allah Ta’ala memerintahkan umat Islam menafkahkan atau membelanjakan hartanya pada jalan Allah, iaitu dalam rangka mendekatkan diri kepada-Nya dan melaksanakan segala perintah-Nya.
Termasuk dalam kategori membelanjakan harta pada jalan Allah Ta’ala ialah menunaikan zakat apabila cukup syarat-syaratnya dan membantu orang yang dalam kesusahan atau memberikan sumbangan bagi pembinaan surau atau masjid dan lain-lain.
Namun sedekah atau infak yang paling utama ialah membelanjakan harta benda untuk tujuan berperang menghadapi musuh dan menguatkan kaum muslimin. Selain itu ayat ini menjelaskan bahawa meninggalkan infak akan membawa kepada kehancuran dan kebinasaan.
Sekiranya seseorang itu mempunyai harta tetapi bersikap bakhil, tidak mahu membiayai peperangan dan tidak ada persiapan mahupun bekalan yang lengkap apabila berlaku peperangan juga membawa kepada kebinasaan.
Ayat “dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” bermaksud Allah Ta’ala memerintahkan kaum muslimin membelanjakan harta pada jalan-Nya dalam pelbagai bentuk amalan yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya, terutama membelanjakan harta untuk berperang melawan dan memperkuatkan kaum muslimin ke atas musuh mereka.
Selanjutnya Allah Ta’ala memerintahkan kaum muslimin berbuat ihsan yang merupakan tingkatan ketaatan yang paling tinggi. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu membunuh maka berbuat ihsanlah dalam pembunuhan dan jika kamu menyembelih, maka berbuat ihsanlah dalam penyembelihanmu dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia melapangkan (melegakan) binatang sembelihannya.”
(HR. Muslim)
“Ihsan adalah kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, jika kamu tidak terasa begitu maka ketahuilah bahawa Dia melihatmu.”
(HR. Muslim)