Surah 2: Al-Baqarah (190) 

Perintah Berjihad di Jalan Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (190) 


Ayat 190

وَقَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

Ayat ini diturunkan semasa berlakunya Perjanjian Hudaibiyah, iaitu perjanjian damai di antara musyrikin Mekah dengan umat Islam dari Madinah. Ketika itu Rasulullah saw dan para sahabat menuju ke Mekah untuk mengerjakan ibadat umrah tetapi dihalang oleh orang-orang musyrik. Mereka tidak membenarkan Baginda dan rombongannya memasuki Mekah sehingga menyebabkan rombongan ini berada di Hudaibiyah selama 3 bulan. Antara isi kandungan perjanjian itu ialah tiada peperangan di antara musyrikin Mekah dengan umat Islam selama 10 tahun dan musyrikin Mekah membenarkan Baginda serta para sahabat untuk kembali ke Mekah pada tahun berikutnya untuk mengerjakan umrah. 

Pada tahun berikutnya,  Rasulullah saw dan para sahabat berangkat ke Mekah untuk mengerjakan umrah Qadha yang tidak berjaya dilakukan pada tahun sebelumnya. Pada waktu itu, umat Islam berasa khuatir sekiranya musyrikin Mekah melanggar perjanjian damai tersebut sedangkan kaum muslimin tidak suka berperang di Tanah Haram dan ditambah pula pada bulan-bulan haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Inilah keadaan dan peristiwa yang berlaku sempena dengan turunnya ayat ini. 

Oleh itu ayat ini mewajibkan berperang walaupun di Tanah Haram apabila musuh memerangi umat Islam. Namun demikian, berperang ini hanya dibenarkan kepada orang-orang yang memerangi mereka. 

Maksud “dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan)” dalam ayat ini termasuk larangan membunuh orang-orang yang tidak ikut berperang seperti kanak-kanak, wanita, orang-orang tua, orang-orang cacat, binatang, memusnahkan rumah, pokok-pokok dan lain-lain. Firman Allah Ta’ala: 

“………dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” 

At-Taubah 9:36 

Antara hikmah Allah Ta’ala menyebut kata peperangan dengan ungkapan, “Pada jalan Allah, (فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ)” ialah sebagai salah satu bentuk dorongan supaya peperangan itu mestilah ikhlas demi menegakkan agama Allah.