Surah 2: Al-Baqarah (189) 

Pertanyaan tentang Hilal (Bulan Sabit)  

Surah 2: Al-Baqarah (189) 


Ayat 189

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ ٱلْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَٰبِهَا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertakwa; dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Perkataan الْأَهِلَّةِ merupakan jamak daripada perkataan هِلَال ‘hilal’ (anak bulan). Diriwayatkan bahawa ada di antara sahabat ra bertanya kepada Rasulullah saw tentang keadaan bulan sabit yang nampak begitu kecil, kemudian bertambah besar sedikit demi sedikit sehingga menjadi bulan purnama (penuh), kemudian mula mengecil sehingga kembali menjadi seperti pertama kali muncul. Oleh itu, Allah Ta’ala menurunkan ayat ini. 

Allah Ta’ala menjadikan bulan sebagai panduan menentukan perhitungan tarikh contohnya waktu untuk berpuasa dan berbuka (berhari raya), waktu kehamilan wanita dan waktu bagi wanita menjalani masa ‘iddah. 

‘Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra, dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: 

‘Allah telah menjadikan hilal sebagai penentu waktu bagi manusia. Maka berpuasalah kerana kalian melihatnya dan berbukalah kerana kalian melihatnya juga. Jika cuaca mendung, maka genapkanlah hitungan bulan menjadi 30 hari).’” 

(HR. ‘Abdurrazaq) 

Pada zaman jahiliah, orang-orang yang berihram pada waktu haji biasanya sekembalinya mereka ke rumah masing-masing, mereka masuk ke dalam rumah dari pintu belakang dan bukannya dari pintu hadapan. Ini kerana mereka menyangka bahawa perkara itu merupakan kebajikan (kebaikan). Maka Allah Ta’ala menerangkan bahawa yang demikian itu bukanlah satu kebaikan kerana Dia tidak mensyariatkannya kepada mereka dan Rasul-Nya. Adalah menjadi ketetapan bahawa setiap orang yang beribadah mestilah mengikuti apa yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. 

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Ishaq, bahawa dia mendengar Al-Barra’ berkata, “Ayat ini turun berkenaan kami iaitu apabila orang-orang Ansar telah berhaji, mereka kembali tanpa masuk melalui pintu hadapan rumah mereka, tetapi dari belakangnya. Lalu ada seorang Ansar yang masuk melalui pintu hadapan rumahnya dan dia dicela oleh yang lain, maka turunlah ayat, “Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertakwa; dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.” Memasuki rumah-rumah daripada pintu-pintunya lebih memudahkan mereka, dan inilah yang sewajarnya.