Surah 2: Al-Baqarah (188) 

Larangan Makan Harta dengan Jalan Batil  

Surah 2: Al-Baqarah (188) 


Ayat 188

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Allah Swt melarang memakan harta milik orang lain secara batil. Ini bermaksud mengambil harta tersebut dengan cara yang salah seperti dengan sumpah dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan sebagainya. 

Allah Ta’ala juga melarang memberikan alasan-alasan yang batil kepada hakim-hakim ketika dibawa kepada mereka bagi mendapatkan harta milik orang lain secara salah. Sekiranya perbicaraan dibawa ke muka pengadilan dan keputusan hakim berpihak kepada pihak yang batil (contohnya kerana kelemahan hujah pihak pembelaan), harta tersebut tetap merupakan harta yang haram meskipun pihak yang batil memenangi perbicaraan itu. Keputusan hakim tetap tidak mengubah status haram harta itu kerana hakim hanya berhukum berdasarkan bukti yang dipersembahkan kepadanya. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya aku hanya manusia biasa dan kamu pula berbalah dan meminta agar aku mengadilinya. Mungkin ada di antara kamu lebih fasih bertutur daripada yang lain sehingga aku memenangkan untuknya berdasarkan hujjah yang aku dengar. Barangsiapa di antara kamu yang aku menangkan padahal sebenarnya dia adalah pihak yang batil (salah), maka itu bererti aku telah memberikan kepadanya sepotong api neraka. Maka terserah kepadanya apakah dia mahu mengambilnya atau meninggalkannya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat ini juga menunjukkan bahawa jika seorang peguam itu telah mengetahui bahawa orang yang melantiknya mengemukakan dakwaan yang batil, maka tidak halal baginya untuk menjadi peguam kepada orang tersebut. Firman Allah Ta’ala: 

“………….dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat.” 

An-Nisa’ 4:105