Hukum-hukum Puasa
Surah 2: Al-Baqarah (187)
Ayat 187
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَٱلْـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَٱبْتَغُوا۟ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَـٰكِفُونَ فِى ٱلْمَسَـٰجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.
Ayat ini merupakan keringanan (rukshah) kepada kaum muslimin dan penghapusan hukum sebelumnya yang berlaku pada permulaan Islam. Ketika itu, apabila mereka berbuka puasa, dihalalkan mereka makan, minum dan berhubungan badan (jimak) sehingga Isya’. Sekiranya mereka telah solat Isya’ atau tidur, maka diharamkan bagi mereka makan, minum dan berjimak sehingga malam berikutnya. Hal ini sangat berat kepada mereka.
Ada beberapa orang sahabat telah menyetubuhi isteri-isteri mereka dan makan selepas menunaikan solat Isya’, antaranya ialah ‘Umar bin Al-Khattab ra. Kemudian mereka mengadu hal ini kepada Rasulullah saw. Lalu turunlah ayat ini untuk memberi keringanan kepada umat Islam iaitu menghalalkan mencampuri isteri mereka pada malam hari pada bulan puasa. Ini kerana isteri adalah pakaian (keperluan) suaminya dan begitu juga sebaliknya.
Allah Maha Mengetahui bahawa ada di antara hamba-hamba-Nya yang tidak dapat menahan nafsunya. Oleh itu, Dia bersedia mengampunkan keterlanjuran yang telah mereka lakukan. Maka mereka dibolehkan makan, minum dan jimak pada malam-malam bulan Ramadhan dari matahari terbenam hinggalah terbit fajar.
Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan disyariatkan untuk beriktikaf pada bulan Ramadhan. Jika seseorang beriktikaf dia tidak dibolehkan menggauli isterinya sehingga waktu iktikafnya berakhir.
Beberapa kesimpulan yang boleh diambil daripada ayat di atas iaitu:
- Halal menggauli isteri pada malam hari bulan Ramadhan. Namun diingatkan agar tidak leka dalam mencari keredhaan Allah Ta’ala terutama untuk mendapatkan Lailatul Qadr.
- Terbit fajar merupakan batas waktu terakhir membolehkan seseorang makan, minum atau berjimak.
- Jika seseorang masih makan sewaktu terbit fajar kerana dia ragu-ragu tentang waktu sebenar terbit fajar, maka hal itu dibolehkan.
- Dibolehkan mandi junub sesudah terbit fajar kerana waktu dibenarkan berjimak ialah sehingga terbit fajar. Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah saw.
- Waktu menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa ialah bermula dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.