Kewajipan Berpuasa
Surah 2: Al-Baqarah (183 – 185)
Ayat 183
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Berpuasa ialah menahan diri daripada segala perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari seperti makan, minum dan berhubungan badan antara suami dan isteri serta amalan-amalan lain yang boleh membatalkan puasa. Rasulullah saw bersabda, antaranya:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak memerlukan puasa orang itu sekalipun dia meninggalkan makan dan minum.”
(HR. Al-Bukhari)
“Puasa itu bukan menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Juga menahan diri daripada perbuatan sia-sia dan perkataan kotor (keji). Apabila salah seorang mencaci atau berbuat kejahilan (permusuhan) kepadamu maka katakanlah, ‘Aku sedang berpuasa.’”
(HR. Al-Hakim)
Allah Ta’ala mewajibkan orang-orang beriman berpuasa sebagaimana Dia mewajibkannya kepada orang-orang sebelum mereka. Oleh itu, orang-orang beriman diperintahkan agar bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan ini dengan niat ikhlas kerana-Nya. Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (daripada Allah swt), nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR. Al-Bukhari)
Puasa adalah ibadah yang bertujuan mendapatkan ketakwaan kerana dengan berpuasa dapat menyucikan hati dan menyempitkan jalan syaitan. Rasulullah saw bersabda:
“Wahai para pemuda, barangsiapa antara kalian yang sudah mampu menikah, maka hendaklah dia menikah. Dan barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana baginya puasa itu merupakan penekanan (nafsu syahwat).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, natijah puasa adalah untuk menjadi orang yang bertakwa. Sudahkah kita check samada kita tergolong dalam golongan orang yang bertakwa?
Ayat 184
أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
Maksud “beberapa hari yang tertentu” ialah puasa hanya diwajibkan selama sebulan pada setiap tahun. Puasa juga hanya diwajibkan kepada orang-orang yang mampu melaksanakannya, berbadan sihat dan bermukim. Adapun musafir dan orang yang sakit teruk yang mengalami kepayahan untuk menjalani puasa dibolehkan berbuka. Ini adalah keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada mereka.
Mengikut pendapat jumhur ulama, berbuka puasa ketika bermusafir adalah pilihan bukannya kemestian. Ini berdasarkan kepada kisah para sahabat yang pernah bermusafir bersama dengan Rasulullah saw pada bulan Ramadhan, ada di antara mereka yang berbuka dan ada yang tetap berpuasa. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka, begitu juga dengan orang yang berbuka, dia tidak mencela orang yang berpuasa, dan Baginda mendiamkan perkara ini. Bahkan Baginda pernah berpuasa dalam keadaan bermusafir.
Namun bagi orang-orang yang berbuka puasa ketika bermusafir, mereka diwajibkan menggantikannya (qadha) sebanyak hari-hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain di luar bulan Ramadhan tetapi pada tahun yang sama.
Manakala sesiapa yang tidak mampu berpuasa kerana sesuatu keuzuran yang berat seperti terlalu tua atau menghidap penyakit kronik, maka wajib baginya membayar fidyah. Fidyah ialah memberi makan seorang miskin setiap hari sebanyak bilangan hari puasa yang ditinggalkan.
Wanita yang hamil atau menyusukan anak juga dibolehkan berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa itu boleh memudharatkan dirinya atau anaknya. Ada beberapa pendapat ulama terhadap hukum berpuasa bagi wanita yang hamil atau menyusukan anak, antaranya:
- Menurut Imam Syafie dan Imam Ahmad, sekiranya wanita hamil atau wanita yang menyusu berbuka puasa kerana bimbangkan keselamatan anak, mereka diwajibkan menggantikan (qadha) dan membayar fidyah. Namun sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak bimbang keselamatan dirinya dan anaknya, mereka hanya qadha sahaja.
- Menurut Ibnu ‘Abbas ra, wanita hamil dan menyusukan anaknya, apabila mereka bimbangkan dirinya atau anaknya, mereka diwajibkan membayar fidyah dan tidak perlu mengqadha puasa.
Namun sekiranya orang-orang yang diwajibkan membayar fidyah itu dengan kerelaan hati melakukan lebih daripada apa yang diwajibkan atasnya, itu adalah lebih baik, contohnya:
- Membayar fidyah untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan melebihi kadar fidyah yang biasa.
- Membayar fidyah untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan kepada lebih daripada satu orang miskin.
- Ataupun dengan menggantikan puasa yang ditinggalkannya dan dalam masa yang sama dia membayar fidyah.
Adalah lebih baik bagi orang-orang yang mempunyai keuzuran itu berpuasa jika mereka mengetahui kebaikan berpuasa dan menyedari bahawa puasa itu diwajibkan demi kemaslahatan orang-orang Islam, sekiranya tidak mendatangkan mudharat apabila mereka berpuasa. Sesungguhnya puasa mempunyai keutamaan yang besar di sisi Allah Ta’ala, antaranya adalah seperti sabda Rasulullah saw dalam hadis qudsi:
“Allah berfirman (yang ertinya); ‘Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untuk-Ku.’”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 185
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
Berpuasa beberapa hari itu adalah pada bulan Ramadhan yang diberkati. Allah Ta’ala memuliakan bulan Ramadhan ini dengan memilihnya sebagai bulan permulaan penurunan Al-Quran. Kemudian diturunkan-Nya secara beransur-ansur selama 23 tahun.
Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang jelas, menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan serta menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Waktu Ramadhan juga waktu yang paling utama memperbanyakkan membaca Al-Quran. Rasulullah saw bersabda:
“Amalan puasa dan membaca Al-Quran akan memberi syafa’at kepada seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Rabb, aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafa’at kepadanya.’ Dan Al-Quran berkata, ‘Aku menahannya daripada tidur pada waktu malam, maka izinkanlah aku memberi syafa’at kepadanya.’ Maka kedua-duanya pun diizinkan memberi syafa’at.”
(HR. Ahmad)
Allah Ta’ala mengulangi sekali lagi dalam ayat ini tentang rukshah (keringanan) kepada orang-orang yang dalam keuzuran bagi menghilangkan kesukaran mereka. Namun mereka dikehendaki mengqada puasa tersebut sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari selain Ramadhan pada tahun itu. Oleh itu, orang-orang beriman diperintahkan oleh Allah Swt agar mengagungkan-Nya dan bersyukur kepada-Nya atas segala petunjuk, keringanan dan nikmat daripada-Nya.