Perintah untuk Berwasiat
Surah 2: Al-Baqarah (180 – 182)
Ayat 180
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا ٱلْوَصِيَّةُ لِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.
Ayat ini adalah saranan agar berwasiat dengan cara yang makruf apabila seseorang itu sakit dan mempunyai tanda-tanda akan membawa kepada kematian.
Makruf ialah adil dan baik, iaitu dengan tidak melebihi sepertiga daripada seluruh harta peninggalan atau berlebihan dan tidak mengutamakan yang kaya atau keluarga yang jauh sedangkan yang dekat tidak diperhatikan.
Namun kewajipan berwasiat kepada kedua orang tua dan kaum kerabat yang menjadi ahli waris telah dinasakh (dihapuskan) setelah turunnya ayat tentang faraid. Firman Allah Ta’ala:
“Allah mensyariatkan (mewajibkan) kepadamu tentang (pembahagian warisan untuk) anak-anakmu……..”
An-Nisa’ 4:11
Oleh itu disunnahkan memberi wasiat kepada kaum kerabat yang bukan daripada ahli waris, dalam had sepertiga. Hadis yang menggalakkan untuk berwasiat adalah daripada Ibnu ‘Umar ra, beliau berkata Rasulullah saw bersabda:
“Tidak sepatutnya seorang muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan berdiam diri selama dua malam kecuali wasiatnya tertulis di dekatnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 181
فَمَنۢ بَدَّلَهُۥ بَعْدَ مَا سَمِعَهُۥ فَإِنَّمَآ إِثْمُهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Mengubah wasiat sama ada dilakukan oleh saksi ataupun orang yang menerima wasiat setelah dia mengetahuinya atau memahaminya adalah berdosa. Adapun pemberi wasiat tetap mendapatkan pahalanya di sisi Allah Swt.
Allah Maha Mendengar termasuk wasiat yang disampaikan oleh pemberi wasiat serta mengetahui tindakan penyelewengan dan apa yang disembunyikan dalam hati manusia berupa kecenderungan kepada keadilan atau kezaliman dan Dia akan memberikan balasan terhadapnya.
Ayat 182
فَمَنْ خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan agama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dalam penyediaan wasiat, pemberi wasiat mungkin tidak berlaku adil sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja seperti menambah wasiat kepada anak yang paling disayanginya.
Sekiranya berlaku keadaan seperti ini, orang yang diserahkan wasiat itu boleh menasihatinya untuk membetulkan isi kandungannya agar wasiat itu menjadi lebih adil, baik dan mengikuti syariat. Inilah maksud ayat ini, “Lalu dia mendamaikan antara mereka,” iaitu Allah Ta’ala memerintahkan orang yang diserahkan wasiat itu berlaku adil dan mendamaikan antara pemberi dengan yang akan menerima wasiat sekiranya berlaku ketidakadilan dalam hal wasiat.
Ayat ini juga menyatakan bahawa orang yang diserahkan wasiat boleh memperbaikinya dan mengubah wasiat sesuai dengan peraturan syariat. Dia boleh mengubah wasiat yang disampaikan oleh si mati sehingga mendekati apa yang sesuai dengan yang telah diwasiatkan oleh si mati.