Surah 2: Al-Baqarah (178 – 179) 

Perintah untuk Melaksanakan Qisas 

Surah 2: Al-Baqarah (178 – 179) 


Ayat 178

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَى ۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَـٰنٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang mukmin bahawa mereka wajib membantu pelaksanaan qisas jika diminta oleh waris kepada orang yang terbunuh. Pembunuh mahupun waris si pembunuh tidak boleh menghalang hak waris yang terbunuh daripada melakukan qisas sebagaimana yang biasa dilakukan pada zaman jahiliyah bagi melindungi para pelaku jenayah. 

Qisas ialah menghukum kesalahan dengan hukuman balas yang sama. Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan dan mencederakan dibalas dengan mencederakan. 

Hukum qisas gugur apabila pembunuh dimaafkan oleh waris yang terbunuh dan mestilah diganti dengan pembayaran diyat (ganti rugi). Pembayaran diyat diminta dengan baik, iaitu dengan tidak mendesak pembunuh dan pembunuh hendaklah membayarnya dengan baik, tidak menangguhkannya dan tidak mengurangi jumlah diyat. 

Disebutkan kata “saudaranya” dalam ayat ini adalah untuk mengajak orang-orang yang terlibat memberi maaf dan untuk memberitahu bahawa pembunuhan bukanlah satu sebab untuk memutuskan persaudaraan. 

Ayat 179

وَلَكُمْ فِى ٱلْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.

Syariat qisas akan menjamin kehidupan yang lebih aman. Ini kerana apabila orang yang hendak membunuh sedar bahawa dia akan dibunuh selepas melakukan pembunuhan, dia tidak akan meneruskan tindakannya untuk membunuh. Demikian juga hak-hak lain dalam Islam yang bertujuan untuk menjaga jiwa, harta, akal, kehormatan, agama dan membuatkan pelakunya insaf. 

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Swt menyukai hamba-hamba-Nya yang mahu menggunakan akal untuk memikirkan hikmah di sebalik ketetapan-Nya. Orang-orang yang berfikir pasti akan mengenal Allah Ta’ala, mengenal agama dan syariat-Nya yang mengandungi rahsia yang mendalam serta hikmah yang indah. Oleh itu, mereka tunduk kepada perintah-perintah-Nya dan berasa sangat zalim jika bermaksiat kepada-Nya sehingga menjadikan mereka orang-orang yang bertakwa.